Collector
Polis Kelantan hantar M16 ke forensik, kenal pasti nombor siri milik tentera atau polis | Collector
Polis Kelantan hantar M16 ke forensik, kenal pasti nombor siri milik tentera atau polis
Sinar Harian

Polis Kelantan hantar M16 ke forensik, kenal pasti nombor siri milik tentera atau polis

TANAH MERAH - Polis Kelantan telah menghantar senjata api raifal jenis M16 yang dirampas dalam satu serbuan di Kampung Miah, Gua Musang pada Isnin lalu ke unit forensik untuk dikenal pasti nombor sirinya sama ada milik tentera atau polis.Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kes terbabit jarang berlaku dan suspek yang merupakan warga tempatan masih diburu."Kita sedang menjalankan siasatan forensik untuk mengenal pasti nombor siri senjata tersebut, sama ada milik polis, tentera atau diseludup dari luar."Di Malaysia, kita tidak melesenkan senjata automatik seperti M16 kepada orang awam, hanya ‘shotgun’ sahaja untuk lesen memburu," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini pada Khamis.Sinar Harian sebelum itu melaporkan penahanan seorang wanita oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Miah, Gua Musang membawa kepada rampasan lima laras senjata api termasuk M16 pada Isnin.Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek ditahan menerusi Op Bersepadu Khazanah Siri 4/2026 pada jam 6.45 petang."Kesemua senjata api itu ditemukan hasil pemeriksaan yang dilakukan di dalam rumah berkenaan," katanya kepada pemberita pada Isnin.Menurut beliau, suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang untuk tindakan lanjut.Ujarnya, siasatan akan dijalankan mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.Ahmad Radzi memberitahu, serbuan tersebut turut dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Perhutanan negeri.

Go to News Site