Sinar Harian
GEORGETOWN - Alliance Bank Malaysia Berhad kembali menganjurkan Heritage Run 2026 dalam edisi istimewa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan tawaran hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000 serta pengalaman larian lebih menarik.Acara yang dijadual berlangsung pada 12 Julai 2026 di Padang Kota Lama itu menampilkan tiga kategori iaitu 3 kilometer (km), 10km dan 21km, sesuai untuk pelari baharu dan berpengalaman.Edisi keempat terbabit dijangka menarik penyertaan lebih besar dari dalam dan luar negara susulan kejayaan penganjuran tahun lalu yang menghimpunkan 5,500 peserta.Buat pertama kali, kategori 3km yang mesra keluarga akan menampilkan cabaran busana keluarga terbaik dengan peserta digalakkan memakai pakaian tradisional,Kategori 10km diperkenalkan sebagai acara kompetitif baharu untuk meningkatkan prestasi pelari sebelum ini dalam kategori 7km, manakala kategori 21km pula disasarkan kepada pelari tegar dan maraton.Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, acara itu menjadi platform bermakna dalam menyatukan masyarakat, selain memupuk nilai kesihatan, perpaduan dan kelestarian."Kami melihat Heritage Run kini menjadi tradisi yang amat bermakna, mencerminkan komitmen kami dalam menganjurkan program berimpak yang menyatukan masyarakat, mengeratkan hubungan serta memperkukuh nilai perpaduan, kesihatan dan kelestarian."Kami juga berbangga menyediakan platform yang meraikan sejarah bersama, di samping memperkukuh komuniti setempat yang kami santuni sebagai ‘The Bank for Life’." katanya.Selaras komitmen kelestarian bank, pingat penamat diperbuat daripada buluh, manakala barangan cenderamata lain termasuk tali lanyard berinspirasikan batik serta beg kanvas eksklusif yang mencerminkan identiti budaya Pulau Pinang.Selain itu, rekaan baju-T perlumbaan edisi koleksi adalah unik mengikut kategori, diinspirasikan daripada elemen budaya tempatan seperti kebaya, mi udang dan kasut manik.Kesemua barangan itu dibungkus dalam beg kanvas guna semula, sekali gus menyokong usaha pengurangan sisa dan memberi nafas baharu kepada penggunaan bahan.Acara itu turut menampilkan bazar #SupportLokal berkonsepkan warisan yang menghimpunkan makanan tempatan, produk artisan serta hasil seni kraf, sekali gus memberi peluang kepada usahawan kecil mempromosikan produk mereka.Selain larian, peserta juga akan disajikan dengan persembahan budaya sepanjang laluan dan aktiviti interaktif seperti lukisan kolektif berskala besar.Heritage Run merupakan antara inisiatif utama Alliance Bank dalam memperkukuh penglibatan komuniti, selain menyokong usaha pemeliharaan warisan budaya George Town selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11.4 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).Harga tiket bermula RM39 bagi jualan pelancaran, manakala pendaftaran dibuka dari 24 April hingga 30 Jun 2026 atau sehingga tiket habis dijual.Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut serta membuat pendaftaran melalui laman sesawang rasmi Alliance Bank https://www.alliancebank.com.my/Alliance-Heritage-Run.
Go to News Site