Collector
KPN perkasa sastera, membentuk peradaban bangsa | Collector
KPN perkasa sastera, membentuk peradaban bangsa
Sinar Harian

KPN perkasa sastera, membentuk peradaban bangsa

SHAH ALAM - Dalam dunia yang dikuasai teknologi dan maklumat tanpa sempadan, sastera kekal sebagai suara nurani yang membentuk peradaban manusia.Karya-karya Sasterawan Negara bukan sekadar himpunan cerita, tetapi cerminan pemikiran, nilai dan identiti bangsa yang merentasi zaman.Dalam konteks Malaysia, tokoh seperti Keris Mas, Usman Awang, A. Samad Said dan Zurinah Hassan telah membentuk landasan kukuh kepada pembinaan jati diri melalui karya yang sarat dengan nilai kemanusiaan, bahasa indah dan pemikiran kritis.Sastera bukan sekadar bahan bacaan, sebaliknya merupakan instrumen penting dalam membentuk tamadun. Negara maju seperti Jepun, Perancis dan United Kingdom terus memartabatkan sastera sebagai teras pembinaan bangsa.Karya klasik mereka diangkat dalam sistem pendidikan, dipentaskan semula dalam teater moden dan diadaptasi ke pelbagai medium, membuktikan bahawa sastera sentiasa relevan dalam membentuk masyarakat berfikir dan berbudaya.Bagi generasi muda di negara ini, karya Sasterawan Negara menawarkan dimensi nilai yang luas. Ia menjadi kompas moral dalam memahami identiti bangsa, memperkaya keindahan bahasa Melayu serta mengasah keupayaan berfikir secara kritis terhadap isu sosial seperti kemiskinan, keadilan dan kemanusiaan.Karya seperti Salina dan Juara bukan sekadar teks, tetapi wadah untuk memahami realiti kehidupan secara lebih mendalam dan berlapis.Hal ini selaras dengan prinsip Usman Awang iaitu ‘Sastera ialah seni yang menggunakan bahasa untuk menyatakan kebenaran dan membela keadilan’ sekali gus membentuk hati nurani generasi yang lebih empati.Sastera dan amalan membaca pula tidak dapat dipisahkan kerana sastera merupakan antara kandungan utama yang menyuburkan budaya membaca dalam sesebuah masyarakat.Melalui pembacaan karya sastera, individu bukan sahaja memperoleh maklumat, malah menghayati nilai, emosi dan pemikiran yang lebih mendalam. Amalan membaca yang konsisten akan membuka ruang kepada penguasaan bahasa, peningkatan daya fikir serta pembentukan empati.Hal ini selaras dengan pesanan ikonik Sasterawan Negara, A. Samad Said iaitu jika ingin menjadi seorang penulis pertama sekali kena membaca, kedua kena membaca, ketiga, membaca, keempat membaca dan kelima baru menulis.Tanpa minat membaca, sastera tidak akan berkembang dan tanpa sastera, budaya membaca akan kehilangan jiwa serta maknanya.Seiring perubahan zaman, pendekatan memperkenalkan sastera turut mengalami transformasi. Karya-karya klasik kini dihidupkan semula melalui medium baharu seperti novel grafik, pementasan teater dan kandungan digital bagi mendekati selera generasi muda.Usaha ini diterjemahkan melalui pementasan karya Sungai Mengalir Lesu pada tahun 2025 oleh Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka yang bukan sahaja mengangkat nilai estetika karya, malah menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.Dalam masa sama, Program Kalam Karyawan yang dilaksanakan sejak 2017 hingga 2024 terus menjadi platform penting dalam mengetengahkan tokoh sastera tanah air kepada khalayak.Antara tokoh yang pernah terlibat termasuk Muhammad Haji Salleh, Ahmad Kamal Abdullah, Siti Zainon Ismail, Baharuddin Zainal dan Zurinah Hassan.Bagi tahun 2026, Anwar Ridhwan dipilih sebagai tokoh tumpuan dalam usaha berterusan memartabatkan warisan persuratan negara.Peranan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Perpustakaan Negara Malaysia sebagai pemelihara khazanah intelektual turut tidak boleh dipinggirkan. Sehingga kini, sebanyak 41,936 naskhah Koleksi Peribadi melibatkan 28 tokoh telah dibangunkan, termasuk 13,324 naskhah daripada lapan Sasterawan Negara.Koleksi ini merangkumi karya kreatif, manuskrip asal, catatan peribadi dan bahan dokumentasi yang memperlihatkan proses pemikiran serta perjalanan intelektual tokoh-tokoh berkenaan.Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan, Sastera ialah asas pembinaan peradaban dan jiwa kepada negara bangsa.Generasi muda perlu didekatkan dengan karya sastera agar mereka tidak kehilangan identiti, nilai dan arah dalam mendepani cabaran masa depan.Justeru, usaha menarik minat generasi muda terhadap sastera perlu digerakkan secara menyeluruh melalui kerjasama antara institusi, sekolah dan penggiat seni. Sastera bukan sekadar warisan, tetapi kekuatan yang membentuk pemikiran, menyatukan masyarakat dan mencorakkan masa depan negara. Jika sastera terus subur dalam jiwa generasi muda, maka peradaban bangsa akan terus utuh dan bermakna.Pada tahun ini juga, kementerian terus mempergiat usaha membudayakan amalan membaca melalui pelaksanaan kempen Jom Baca 10 Minit Setiap Hari bagi menghidupkan semula budaya ilmu dalam kalangan masyarakat.Kempen yang bertemakan Membaca Membina Bangsa dilihat sebagai langkah berterusan dalam menyemai minat membaca di semua peringkat umur, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara pembaca menjelang tahun 2030, sekali gus melahirkan masyarakat berilmu, berdaya saing dan berfikiran maju."Sasterawan Negara Wanita Pertama, Datuk Dr Zurinah Hassan berkata, sasterawan akan terus menulis kerana itu sifatnya, namun jika karya tidak bergerak dan tidak disambut di pasaran, ia akan memberi kesan kepada penyebaran buku. "Saya berpendapat usaha kementerian melalui perpustakaan dalam menyimpan khazanah sastera dan menggalakkan budaya membaca adalah sesuatu yang baik."Inisiatif itu mampu menarik minat generasi kini dan akan datang terhadap sastera, sekali gus membuktikan bahawa sastera merupakan medan penting dalam pembinaan peradaban."Apa yang dilakukan kementerian itu mampu menyatukan rakyat kerana apabila masyarakat membaca, mereka akan berkongsi nilai dan pemikiran yang sama. "Bagaimanapun, usaha tersebut tidak boleh bergantung kepada satu pihak sahaja, sebaliknya perlu digerakkan secara bersama oleh semua pihak," kata Zurinah.

Go to News Site