Sinar Harian
KUANTAN - Keluarga pelajar asrama sebuah sekolah di sini yang ditemui lemas di Pantai Balok Sabtu lalu masih menunggu jawapan sebenar di sebalik kejadian yang berlaku.Bapa mangsa, Jamaluddin Wahudin, 56, mendakwa kes lemas yang menimpa anak bongsunya, Allahyarham Muhammad Luqman Kamil, 16, meninggalkan banyak persoalan yang belum terjawab.Menurutnya, sehingga kini dia masih tidak mengetahui secara terperinci bagaimana anaknya yang sepatutnya berada di asrama boleh berada di pantai berkenaan pada hari kejadian."Berdasarkan pengakuan individu terlibat, tujuh pelajar termasuk anak saya dibawa ke pantai itu pada hari kejadian untuk mencari kepah."Bagaimana perkara itu boleh berlaku kerana berdasarkan pengalaman, prosedur keluar masuk pelajar asrama sekolah ini ketat dan memerlukan kebenaran bertulis daripada ibu bapa."Lima orang anak saya pernah bersekolah di situ. Setiap kali keluar untuk aktiviti, perlu mengisi borang kebenaran yang ditandatangani ibu bapa," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kuarters Pekerja Kilang FGV di Felda Lepar Hilir 3 di sini pada Khamis.Jamaluddin berkata, sebagai bapa, dia menuntut siasatan yang adil dan telus berhubung kematian anaknya itu."Kami masih menunggu hasil siasatan pihak berkuasa dan penjelasan pihak-pihak terlibat bagi mengetahui perkara sebenar di sebalik pelbagai cerita yang timbul ketika ini."Kami hanya mahukan keadilan dan sekiranya wujud unsur kecuaian dan sebagainya, ada pihak yang perlu dipertanggungjawabkan," katanya.Bapa kepada 10 anak itu berkata, kejadian yang menimpa anaknya itu dimaklumkan kira-kira jam 6.40 petang, walaupun mangsa dilaporkan keluar dari asrama sekolah lebih awal bersama beberapa pelajar lain."Memang terkejut apabila mendapat tahu anak hilang disyaki lemas, malah isteri terus pengsan mendengar khabar itu."Apabila mendapat khabar itu, dalam hati terdetik anak sudah 'tiada', namun tetap menguatkan semangat ke lokasi bagi mengikuti perkembangan pencarian sehinggalah mayatnya ditemui hari berikutnya," katanya.Jamaluddin berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya itu adalah pada hari Jumaat kira-kira seminggu sebelum kejadian untuk menghantar sepasang baju Melayu bagi menghadiri jamuan Hari Raya di sekolah terbabit."Hasrat kami untuk melihatnya mengikut jejak kejayaan tujuh abang dan kakaknya ke menara gading tidak kesampaian selepas tragedi ini," katanya.Sementara itu, ibu mangsa, Siti Roslina Misban, 56, berkata, anaknya itu jarang ke pantai atau keluar ke mana-mana tanpa keluarga."Sebagai anak bongsu, dialah yang paling manja."Setiap kali pulang dari asrama, dia banyak menghabiskan masa di rumah bersama keluarga," katanya.Siti Roslina yang bertugas sebagai guru KAFA cukup terkesan dengan kehilangan itu, namun reda atas segala yang berlaku."Kini dia sudah tiada, hanya pusara tempat melepaskan rindu," ujarnya sayu.Terdahulu, media melaporkan pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar itu di sini dilaporkan lemas ketika mencari kepah di Pantai Balok pada Jumaat.Mayat mangsa ditemukan pada jam 2.15 petang keesokan harinya dalam keadaan terapung kira-kira 400 meter dari kuala oleh pasukan penyelamat yang menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Go to News Site