Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Kelewatan sebahagian penyedia platform melaksanakan integrasi sistem caruman keselamatan sosial bukan lagi isu teknikal, sebaliknya kegagalan mematuhi undang-undang di bawah Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Masrizal Mahidin berkata, hampir sebulan selepas penguatkuasaan akta berkenaan, pelaksanaan di lapangan masih belum menunjukkan tahap pematuhan yang menyeluruh dalam kalangan penyedia platform."Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah mengesahkan bahawa agensi itu bersedia sepenuhnya untuk pelaksanaan perlindungan sosial pekerja gig."Perkara itu termasuk melalui integrasi sistem berasaskan 'Application Programming Interface (API)' yang membolehkan potongan caruman dilaksanakan secara automatik, telus dan efisien tanpa campur tangan manual."Ini bermakna, sebarang alasan berkaitan kekangan teknikal tidak lagi boleh dijadikan justifikasi untuk melengah-lengahkan pelaksanaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Ujarnya, lebih jelas, mekanisme baharu tersebut menetapkan caruman pada kadar 1.25 peratus secara automatik bagi setiap transaksi, sebaik sahaja tugasan diselesaikan iaitu satu pendekatan yang bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan pematuhan, malah memastikan perlindungan sosial yang konsisten tanpa menjejaskan fleksibiliti pekerjaan gig.Bagaimanapun katanya, kegagalan sebahagian penyedia platform untuk segera menyelaraskan sistem mereka dengan keperluan ini menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen mereka dalam mematuhi undang-undang serta menjaga kebajikan pekerja gig."GEM ingin menegaskan bahawa isu ini bukan lagi isu teknikal sebaliknya, adalah isu kepatuhan, integriti dan tanggungjawab industri. Statistik turut menunjukkan keperluan mendesak untuk perlindungan yang lebih menyeluruh."Jumlah kemalangan di bawah skim perlindungan kendiri terus meningkat saban tahun, begitu juga dengan jumlah penerima faedah, satu isyarat jelas bahawa pekerja gig berdepan risiko sebenar yang tidak boleh dipandang ringan," katanya.Katanya, sehubungan itu, GEM berpendirian bahawa pendekatan soft landing dalam penguatkuasaan tidak lagi memadai sekiranya ketidakpatuhan terus berlaku.Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan bersifat punitif perlu dipertimbangkan bagi memastikan pematuhan menyeluruh oleh semua pihak."Di bawah Seksyen 82 Akta 872, pekerja gig mempunyai hak kepada pemotongan caruman keselamatan sosial oleh entiti kontrak bagi pihak mereka kepada PERKESO manakala Seksyen 83 memperuntukkan kewajipan mandatori ke atas penyedia platform untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut tanpa pengecualian."GEM juga menyokong sepenuhnya pendirian bahawa semua penyedia platform — termasuk yang belum berdaftar, tetap tertakluk kepada kewajipan untuk mendaftar dan melaksanakan caruman demi memastikan perlindungan menyeluruh kepada pekerja gig," jelasnya.Selain itu ujarnya, Malaysia kini berada pada landasan penting sebagai antara negara perintis di rantau ini dalam memperkenalkan kerangka perundangan komprehensif bagi sektor gig."Namun, kekuatan dasar ini hanya akan bermakna sekiranya pelaksanaannya dilakukan dengan tegas, konsisten dan tanpa kompromi," katanya.Beliau berkata, keselamatan sosial pekerja gig bukan pilihan sebaliknya adalah hak yang dijamin undang-undang dan amanah yang wajib ditunaikan.
Go to News Site