Collector
Pemandu bas ‘lalok’ dipenjara 7 bulan denda RM8,000 | Collector
Pemandu bas ‘lalok’ dipenjara 7 bulan denda RM8,000
Sinar Harian

Pemandu bas ‘lalok’ dipenjara 7 bulan denda RM8,000

ALOR GAJAH - Seorang pemandu bas ekspres yang videonya tular selepas memandu dalam keadaan khayal dan disahkan positif syabu dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan serta denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah pada Jumaat selepas tertuduh mengaku bersalah memandu secara berbahaya.Tertuduh, Mohd Tamrin Ibrahim, 53, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee.Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu bas telah memandu kenderaan tersebut dengan cara berbahaya kepada orang awam.Perbuatan itu dilakukan di KM 196.1 (S), Lebuhraya PLUS berhampiran Persimpangan Ayer Keroh dalam daerah Alor Gajah, Melaka sekitar jam 3.50 pagi pada 15 April lalu.Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 serta tidak melebihi RM15,000.Di bawah seksyen sama, butir-butir sabitan hendaklah diendorskan pada mana-mana lesen memandu yang dipegang.Jika didapati bersalah, tertuduh juga akan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan.Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Kamariah Md Yusof yang mewakili tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan memandangkan pengakuan tertuduh telah menjimatkan masa dan kos mahkamah."Dia pernah berkahwin dan kini telah berpisah. Sebelum ini mempunyai pendapatan RM2,500 dan menanggung anak saudara yang belajar di IPTA, selain menghidap masalah kesihatan iaitu asma."Anak guam saya konsisten untuk membuat pengakuan bersalah selepas dua kali ditanya. Dia mengaku kesilapan dan memohon hukuman ringan," katanya.Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin memohon hukuman berat dikenakan kerana tindakan tertuduh membahayakan nyawa orang lain."Kes ini telah tular dan mendapat perhatian awam. Mengikut fakta kes, semasa kejadian suspek berada dalam keadaan khayal ketika memandu dan terdapat 15 penumpang dalam bas tersebut."Ketika serah diri, keputusan ujian juga positif (syabu). Mohon hukuman sekurang-kurangnya penjara satu tahun," katanya.Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan dari tarikh sabitan serta denda RM8,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda.Duda itu juga hilang kelayakan memandu selama lima tahun dari tarikh sabitan.Pada 16 April lalu, Sinar Harian melaporkan polis sedang mengesan pemandu bas berkenaan susulan tindakannya memandu secara berbahaya.Melalui video tular berdurasi satu minit 20 saat, suspek dilihat seperti ‘lalok’, memandu dalam keadaan menyandar ke belakang dan hanya memegang stereng dengan sebelah tangan ketika kenderaan sedang bergerak pada waktu malam.Kejadian ketika bas ekspres yang membawa 15 penumpang itu dalam perjalanan dari Ipoh, Perak ke Johor Bahru.

Go to News Site