Sinar Harian
JOHOR BAHRU - UMNO kembali mencatat peningkatan penyertaan dalam kalangan generasi muda apabila lebih 60 peratus daripada kira-kira 10,000 permohonan keahlian baharu terdiri daripada individu berusia bawah 40 tahun.Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 6,009 permohonan adalah bagi sayap Pemuda, diikuti ahli biasa (2,511), Wanita (791) dan Puteri (689).Menurut beliau, perkembangan tersebut menunjukkan parti itu masih mendapat kepercayaan rakyat, khususnya golongan muda, untuk terus bersama UMNO sebagai platform politik mereka.Katanya, inisiatif Rumah Bangsa yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga dilihat memberi impak positif apabila bukan sahaja menarik semula bekas ahli, malah turut membuka ruang kepada kemasukan ahli baharu."UMNO bukan sekadar parti politik semasa, tetapi juga parti politik masa depan. Antara faktor peningkatan ini termasuklah keyakinan terhadap kepimpinan parti serta rekod pencapaian di peringkat pusat dan negeri."UMNO juga dilihat lebih stabil dan matang tanpa konflik dalaman yang ketara berbanding parti lain," katanya pada sidang media sempena lawatan ke Projek Menaiktaraf Rumah Seri Kenangan Johor Bahru, di sini pada Jumaat.Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, proses pendaftaran keahlian secara dalam talian yang diperkenalkan sejak 2020 turut memudahkan orang ramai menyertai parti itu, namun ia kini kembali diperkasakan melalui inisiatif Rumah Bangsa.Sebelum ini, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Melaka pada 17 April lalu dilaporkan meluluskan kesemua 6,252 permohonan keahlian baharu tanpa syarat menerusi inisiatif berkenaan.Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki turut memaklumkan pihaknya menerima 3,716 permohonan baharu dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.
Go to News Site