Sinar Harian
JOHOR BAHRU – Sekurang-kurangnya enam das tembakan dilepaskan dalam kejadian sebuah kedai makan di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi yang mengorbankan tiga individu, dengan motif hutang sekitar RM50,000 dikenal pasti sebagai punca.Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, hasil siasatan di lokasi menemukan enam kelongsong peluru tembakan telah dilepaskan oleh suspek di tempat kejadian.Menurutnya, suspek lelaki tempatan berusia 71 tahun yang bekerja sebagai pekebun dipercayai bertindak susulan isu hutang melibatkan seorang wanita warga Vietnam berusia 37 tahun."Suspek dipercayai memberi wang secara berperingkat sejak 2023 untuk membantu wanita itu menguruskan kedai makan, namun tiada sebarang perjanjian bertulis dibuat."Hubungan mereka sekadar kenalan. Wanita berusia 37 tahun yang menguruskan premis milik keluarga mentuanya maut bersama dua pelanggan lelaki."Kedua-duanya berusia 61 dan 63 tahun yang berada di lokasi ketika insiden berlaku," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Khamis.Beliau berkata, siasatan turut mendapati suspek memiliki lesen senjata api yang sah, namun lesen tersebut dikeluarkan di Kuantan, Pahang dan bukan di Johor.Ab Rahaman memberitahu, suspek telah ditahan dan direman sehingga 26 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan."Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya Negeri Johor dan arahan telah diperoleh untuk mendakwa suspek atas tiga pertuduhan membunuh."Pertuduhan dijangka dibuat di Mahkamah Kota Tinggi pada Isnin ini," katanya.Tambahnya, ujian saringan mendapati suspek negatif dadah dan tidak berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.Bagaimanapun, laporan penuh bedah siasat masih ditunggu bagi mengesahkan punca sebenar kematian mangsa.
Go to News Site