Sinar Harian
JOHOR BAHRU – Dua kapal Malaysia yang membawa bahan api berdepan sekatan selepas keluar dari Selat Hormuz, Iran susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan kini sedang berunding dengan Iran bagi memastikan kedua-dua kapal tersebut dapat meneruskan pelayaran dengan selamat."Satu kapal sudah tiba di Pengerang, Johor manakala satu lagi hampir sampai dan sudah memasuki perairan Malaysia. Namun dua kapal yang telah keluar dari Selat Hormuz masih berdepan beberapa sekatan."Kita sedang berunding kerana kelulusan telah diberikan dan kita harap ia dapat diselesaikan segera," katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya di sini pada Jumaat.Menurut beliau, rundingan akan diteruskan segera selepas mendapat kerjasama pihak berkuasa Iran, termasuk melalui saluran tertinggi negara berkenaan.Sebelum ini, media melaporkan lima kapal masih terkandas di Selat Hormuz berikutan ketegangan di rantau tersebut.Dalam pada itu, kerajaan turut dimaklumkan mengenai sebuah kapal Malaysia yang masih terkandas akibat kerosakan teknikal dan tidak dapat berlepas dari pelabuhan di kawasan berkenaan.
Go to News Site