Collector
Gangguan bekalan minyak global dijangka tekan ekonomi negara hingga enam bulan - Nurhisham | Collector
Gangguan bekalan minyak global dijangka tekan ekonomi negara hingga enam bulan - Nurhisham
Sinar Harian

Gangguan bekalan minyak global dijangka tekan ekonomi negara hingga enam bulan - Nurhisham

SHAH ALAM - Gangguan bekalan minyak global susulan konflik geopolitik dijangka memberi kesan berpanjangan terhadap ekonomi Malaysia, termasuk tekanan harga bahan api serta kekurangan barangan industri dan pengguna.Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata, walaupun perdamaian dicapai dalam masa terdekat, negara-negara Teluk memerlukan kira-kira tiga bulan untuk membuka semula telaga minyak yang telah ditutup.Beliau menjelaskan, proses itu mengambil masa kerana faktor teknikal seperti tekanan bawah tanah, potensi kerosakan material serta impak serangan bom sepanjang tempoh peperangan."Dalam tempoh itu, kira-kira 12 juta tong sehari atau sekitar 10 peratus daripada bekalan global akan hilang dari pasaran," ujarnya dalam program bual bicara ehwal semasa terbitan Astro Awani bersama Melisa Idris.Menurut beliau, pengeluaran penuh hanya dijangka dapat dicapai selepas enam bulan atau lebih, sambil mengimbas situasi semasa pandemik Covid-19 yang menyaksikan telaga minyak mengambil masa sehingga 18 bulan untuk kembali ke tahap pengeluaran asal.Mengulas kesan awal, Nurhisham berkata, gelombang pertama akan menyaksikan tekanan terhadap harga bahan api bergantung kepada tahap stok sedia ada dalam negara.Ujarnya, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memberi jaminan bekalan sehingga Jun, namun kos untuk mengekalkan bekalan itu adalah tinggi."Petronas hanya membekalkan kira-kira separuh keperluan negara, manakala selebihnya perlu diperoleh daripada syarikat lain pada harga pasaran fizikal yang jauh lebih mahal," ujarnya lagi.Beliau turut menjelaskan wujud perbezaan ketara antara harga minyak di pasaran hadapan dengan harga penghantaran fizikal segera, di mana premium boleh mencecah antara AS$30 hingga AS$40."Ini menyebabkan harga di pam tidak mencerminkan harga pasaran semasa kerana premium tinggi yang perlu ditanggung," ujarnya.Sementara itu, Nurhisham berkata, gelombang kedua impak akan melibatkan kekurangan bahan berasaskan petroleum seperti nafta dan etilena yang digunakan dalam pengeluaran plastik serta bitumen untuk pembinaan jalan.Menurutnya, kekurangan ini bergantung kepada baki stok dalam sistem, dengan impak besar dijangka mula dirasai menjelang Jun."Secara umum, industri hanya mempunyai stok simpanan untuk tempoh kira-kira dua bulan sejak bermulanya peperangan."Oleh itu, syarikat kini sedang meneliti pelan mitigasi serta Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) bagi menghadapi situasi bermula Jun dan seterusnya," ujarnya.Beliau menegaskan, gelombang kedua ini bukan sahaja memberi kesan kepada bahan api, malah turut melibatkan barangan pengguna serta perkhidmatan kritikal lain.

Go to News Site