Sinar Harian
MELAKA - Kegiatan seorang lelaki menggunakan lori yang diubah suai tangkinya, disyaki bagi menyeleweng diesel bersubsidi terbongkar selepas diserbu di sebuah stesen minyak di Taman Malim Permai di sini pada Khamis.Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, kegiatan itu dikesan hasil risikan dilakukan pihaknya mendapati lori berkenaan menggunakan fleetcard di empat stesen minyak sekitar Malim dalam tempoh sehari.Menurutnya, lori tiga tan yang diubah suai dengan tangki tambahan berkapasiti kira-kira 6,000 liter itu dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an bagi menjalankan kegiatan berkenaan."Modus operandi yang digunakan adalah membeli diesel bersubsidi secara runcit menggunakan fleetcard sebelum menjualnya semula kepada pelanggan di tapak pembinaan."Ketika serbuan sekitar jam 11 malam, suspek sedang melakukan pengisian diesel kali keempat pada hari sama," katanya pada sidang akhbar di Stor Eksibit Krubong di sini pada Jumaat.Jelasnya, hasil pemeriksaan menemukan satu tangki tambahan jenis besi yang dipasang dalam lori, selain satu set pam motor yang dipercayai digunakan untuk memindahkan bahan api ke tangki tambahan.Pihaknya turut menyita satu fleetcard serta anggaran 1,200 liter diesel dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM93,344.Ujarnya, kes disiasat di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961."Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya."Bagi kesalahan kedua atau seterusnya, denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya," katanya.Tambah beliau, bagi pertubuhan perbadanan, hukuman di bawah Seksyen 22(2) akta sama memperuntukkan denda sehingga RM2 juta dan maksimum RM5 juta bagi kesalahan berulang.Katanya, KPDN memberi amaran kepada peniaga supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyelewengan.Orang ramai juga digesa menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan salah laku perdagangan melalui saluran aduan rasmi KPDN.
Go to News Site