Sinar Harian
PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengambil tindakan penggantungan atau pembatalan lesen borong pembekal (CSA) terhadap 94 syarikat pemborong minyak masak bersubsidi, sejak Mac lalu.Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, bagi tempoh sama, pihaknya juga telah mengambil tindakan menarik balik kuota terhadap 27 pemegang kuota minyak masak di bawah Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) kerana gagal dalam audit pematuhan."Ini adalah audit tegas yang dilaksanakan KPDN ke atas pelesen barang kawalan," katanya pada sidang akhbar Pencapaian Penguatkuasaan Ops Tiris 2025 - Mac 2026 di sini pada Jumaat.Menurutnya, dengan pelaksanaan sistem eCOSS bulan lalu, ia membolehkan satu pengesanan dibuat bermula daripada pengilang, penapis, pembungkus, pemborong, peruncit dan pengguna.Beliau berkata, kerajaan tidak akan membayar subsidi sekiranya rantaian bekalan tidak lengkap atau tidak mematuhi sistem yang ditetapkan."Kalau minyak itu tak cukup rantaiannya, kerajaan tidak akan bayar subsidi kepada mana-mana pihak," katanya.Ujar beliau, tindakan tegas tersebut mula menunjukkan hasil apabila aduan berkaitan kesukaran mendapatkan minyak masak peket semakin berkurangan.Bagaimanapun, Azman menegaskan KPDN akan terus memperketat penguatkuasaan bagi mengelakkan aktiviti penyorokan, pemalsuan dokumen dan manipulasi bekalan.Katanya, antara modus operandi dikesan termasuk mengumpul bekalan daripada pemborong dan pembungkus sebelum dijual semula, selain aktiviti menukar minyak masak bersubsidi kepada minyak terpakai."Tindakan-tindakan penguatkuasaan ini sebenarnya adalah untuk memastikan tidak berlakunya elemen-elemen penyorokan dan manipulasi harga," katanya.Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, larangan penjualan minyak masak sawit tulen kemasan polibeg 1kg kepada bukan warganegara telah menghasilkan tiga kes dengan nilai rampasan RM15,115."Minyak masak ini (menelan kos ) subsidi yang tinggi untuk negara kita. Setiap bulan, kerajaan memberikan 60 juta peket minyak masak tersedia untuk rakyat Malaysia," jelas Azman.Justeru, katanya, kerjasama orang ramai dan pemain industri amat penting bagi memastikan ketirisan subsidi dapat dibendung secara berkesan.Sementara itu, mengulas mengenai penjualan minyak masak subsidi di kedai runcit milik warga asing, beliau menegaskan sistem eCOSS tidak membenarkan warga asing berdaftar."Sejak pelaksanaan eCOSS, jarang lagi kita dengar kedai warga asing jual minyak masak bersubsidi sebabnya mereka tidak boleh mendaftarkan premis perniagaan mereka."Kerajaan memang tidak benarkan untuk mereka daftar dalam sistem eCOSS. Itu sebagai langkah untuk memastikan minyak ini sampai kepada penduduk kita warganegara Malaysia," jelasnya.
Go to News Site