Collector
Jemaah Malaysia diingat bersedia hadapi cuaca panas | Collector
Jemaah Malaysia diingat bersedia hadapi cuaca panas
Sinar Harian

Jemaah Malaysia diingat bersedia hadapi cuaca panas

MAKKAH - Perbezaan cuaca ketara antara Malaysia dan Arab Saudi menjadi cabaran utama yang perlu diberi perhatian jemaah haji negara ini apabila suhu di Tanah Suci sepanjang musim haji tahun ini dijangka mencecah lebih 40 darjah Celcius.Keadaan panas dan kering yang jauh berbeza dengan iklim lembap di Malaysia boleh memberi kejutan kepada tubuh, khususnya kepada jemaah yang pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci.Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata, jemaah perlu memberi perhatian serius terhadap aspek kesihatan serta sentiasa mengambil langkah pencegahan bagi memastikan ibadah dapat dilaksanakan dengan selesa dan lancar.Menurut beliau, jemaah perlu memastikan badan sentiasa kekal terhidrasi dengan mengambil air secukupnya, terutama ketika kemuncak ibadah haji di Arafah nanti."Jadi, jemaah perlu sentiasa memastikan badan tidak mengalami dehidrasi dengan minum air secukupnya."Ini amat penting kerana tahap kesihatan akan menentukan sama ada kita dapat melaksanakan ibadah dengan selesa dan lancar," katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Jemaah Haji Malaysia KT01 di Makkah kelmarin.Beliau berkata, cuaca panas melampau boleh menyebabkan badan cepat kehilangan air, keletihan serta kekurangan tenaga jika tidak mengambil langkah pencegahan sewajarnya.Sehubungan itu, jemaah disaran minum air secara berkala walaupun tidak berasa haus, selain membawa bekalan air ketika bergerak ke masjid atau menghadiri aktiviti rasmi.Mereka juga digalakkan mendapatkan rehat secukupnya, memakai pakaian sesuai serta mengurangkan pendedahan terlalu lama di bawah panas terik.Bagi jemaah warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik, pemantauan kesihatan secara berterusan amat penting supaya ibadah dapat dilakukan dengan lebih selesa.Pada musim haji 2024, suhu di Tanah Suci pernah mencecah 51.6 darjah Celcius, menjadikannya antara musim haji paling panas dalam sejarah moden.Sementara itu, Tengku Mohd Dzaraif berkata, Kerajaan Malaysia sentiasa memantau rapat setiap peraturan baharu yang diperkenalkan Arab Saudi dalam pengurusan ibadah haji bagi memastikan kebajikan jemaah terus terpelihara.Katanya, setiap musim haji menyaksikan penambahbaikan peraturan sama ada melalui pengenalan langkah baharu atau pengetatan penguatkuasaan terhadap peraturan sedia ada.Antaranya termasuk penggunaan aplikasi khas sebagai kelulusan rasmi untuk memasuki Tanah Haram di Makkah serta akses ke Masjidil Haram."Pemeriksaan di setiap checkpoint kini dilaksanakan secara lebih ketat, termasuk imbasan kod dan semakan identiti oleh pihak berkuasa Arab Saudi."Langkah ini bertujuan memastikan keselamatan, keselesaan serta kelancaran ibadah jutaan jemaah dari seluruh dunia," katanya.Beliau berkata, penguatkuasaan itu penting bagi mengelakkan kemasukan individu tanpa permit sah ke Tanah Haram yang boleh menyebabkan jumlah jemaah meningkat secara tidak terkawal.

Go to News Site