Sinar Harian
SHAH ALAM – Sebanyak 21,013 pertubuhan telah dibatalkan pendaftarannya bagi tempoh antara 2019 hingga Mac 2026 atas pelbagai kesalahan, termasuk kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan.Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berkata, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini sahaja, pihaknya menerima sebanyak 314 aduan berkaitan dakwaan salah guna dana melibatkan pertubuhan berdaftar sehingga 31 Mac lalu.Beliau berkata, tindakan tegas itu diambil susulan komitmen jabatan dalam memperkemas kerangka kawal selia pertubuhan di negara ini, khususnya membabitkan isu ketelusan dan integriti pengurusan dana awam.Mengulas laporan tular berkaitan dakwaan penyelewengan dana jutaan ringgit oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikaitkan dengan pempengaruh media sosial, beliau menegaskan pemantauan JPPM merangkumi semua bentuk kutipan dana sama ada secara fizikal atau melalui platform dalam talian."JPPM memantau pengurusan dana melalui keperluan pematuhan seperti penyimpanan rekod kewangan yang lengkap dan pembentangan penyata kewangan dalam Mesyuarat Agung Tahunan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Terdahulu, media mendedahkan kes penyelewengan dana yang dikaitkan dengan seorang timbalan pengerusi sebuah NGO itu berjumlah kira-kira RM230 juta.Mengulas lanjut menurutnya, mana-mana pertubuhan yang didapati melanggar peruntukan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] boleh dikenakan tindakan termasuk amaran, notis pematuhan atau pembatalan pendaftaran.Beliau berkata, kes yang mempunyai elemen kesalahan jenayah pula akan dirujuk kepada agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).Dalam pada itu, RoS turut mencadangkan pelaksanaan garis panduan khusus serta audit bebas bagi pertubuhan yang mengutip dana awam berskala besar sebagai mekanisme baharu bagi memperkukuh pemantauan.Mohd Zulfikar berkata, pihaknya kini sedang meneliti keperluan penambahbaikan kerangka perundangan di bawah Akta Pertubuhan 1966 bagi memastikan setiap pertubuhan beroperasi secara sah dan berintegriti."Usaha ini penting bagi memastikan akauntabiliti dan integriti pengurusan dana awam sentiasa terpelihara, sekali gus menjaga keyakinan masyarakat terhadap tadbir urus pertubuhan di Malaysia," jelasnya.
Go to News Site