Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Sebanyak 368 syarikat tempatan menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, sekali gus mencerminkan peningkatan keupayaan industri pertahanan negara apabila mereka tampil dengan produk sendiri.Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkembangan itu selari dengan Dasar Industri Pertahanan Negara yang menggalakkan syarikat tempatan membangunkan produk berteknologi tinggi serta berdaya saing di peringkat global."Walaupun jumlah penyertaan syarikat tempatan kali ini sedikit berkurangan berbanding edisi lalu, kualiti yang ditampilkan jauh lebih baik apabila kebanyakan peserta mempamerkan produk buatan sendiri."Ini menunjukkan syarikat tempatan semakin berani dan berkeupayaan menghasilkan produk sendiri, bukan lagi bertindak sebagai ejen semata-mata," katanya ketika berucap pada majlis penutup DSA dan NATSEC Asia 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, pada Khamis.Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha KementerianPertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain serta Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.Pameran yang berlangsung selama empat hari bermula Isnin lalu itu menghimpunkan 1,456 syarikat pempamer dari 63 negara.Antara syarikat tempatan yang menyertai pameran berkenaan ialah Cendana Auto Sdn Bhd, HeiTech System Defense Sdn Bhd, Westar Group dan MILDEF International Technologies Sdn Bhd, sekali gus memperlihatkan perkembangan positif serta peningkatan keupayaan industri pertahanan negara.Dalam pada itu, Mohamed Khaled menyifatkan penganjuran DSA dan NATSEC Asia 2026 sebagai sangat berjaya walaupun berdepan cabaran termasuk krisis Asia Barat dan kenaikan harga minyak dunia."Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 48,347 pengunjung korporat sepanjang penganjuran berlangsung."Ini adalah angka yang sangat memberangsangkan dan mencerminkan keyakinan tinggi komuniti antarabangsa terhadap Malaysia serta industri pertahanan negara," ujarnya.Mengulas lanjut, beliau berkata, buat pertama kalinya pameran tersebut turut mempamerkan pemeteraian Program Kolaborasi Industri (ICP) yang akan dijadikan elemen tetap dalam setiap pameran pertahanan pada masa akan datang."ICP memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada pemindahan teknologi dan pembangunan industri tempatan, sekali gus membuka peluang kepada syarikat Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global," katanya.Kementerian Pertahanan pada Selasa memeterai sebanyak 24 kontrak dan ICP bernilai keseluruhan RM3.54 bilion sempena penganjuran DSA dan NATSEC Asia 2026.Pemeteraian tersebut merangkumi 12 kontrak perolehan, empat Surat Niat bernilai RM1.01 bilion serta lapan perjanjian nilai kredit ICP berjumlah RM1.40 bilion.Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan menetapkan dasar bahawa semua kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) perlu dilaksanakan oleh syarikat tempatan, selain mewajibkan sekurangkurangnya 30 peratus komponen tempatan dalam setiap perolehan aset pertahanan."Langkah itu telah mendapat sokongan syarikat antarabangsa termasuk Airbus dan Thales Group yang bersedia menjalin kerjasama strategik dengan pemain industri tempatan," katanya.Dalam perkembangan lain, beliau berkata, DSA turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara yang mengamalkan dasar berkecuali dalam hubungan antarabangsa."Melalui platform ini, kita berjaya menghimpunkan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, Rusia dan China dalam satu pentas, sekali gus membuktikan Malaysia kekal relevan dan berperanan dalam diplomasi pertahanan global," katanya.Penganjuran edisi ke-19 itu bertemakan 'Enhancing Capabilities and Resilience Through Technology' (Memperkasa Keupayaan dan Ketahanan Menerusi Teknologi) menekankan teknologi moden sebagai teras pertahanan dan keselamatan masa hadapan.Penganjuran kali ini turut menyediakan 37 pavilion negara antara penyertaan terbesar kali ini ialah Republik Turkiye, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Itali, Amerika Syarikat (AS), India dan Republik Korea.Antara kelainan edisi kali ini ialah pengenalan lima segmen baharu, termasuk Pavilion Coalition of Defence Industry Malaysia (CDIM), segmen ancaman kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan (CBRNE), segmen senjata api dan peralatan taktikal, DSA NATSEC Asia Lab serta platform Business to Business bagi memudah cara pemeteraian memorandum persefahaman dan urusan komersial.Beliau mengumumkan bahawa DSA dan NATSEC Asia akan diteruskan pada tahun 2028 bermula 17 hingga 2 April di MITEC Kuala Lumpur."Kesinambungan penganjuran acara itu penting bagi merangsang inovasi, memperkukuh kolaborasi serta memastikan keamanan serantau terus terpelihara," katanya. Sementara itu,Pengarah Projek Ketech Asia Rahayu Bahaudin berkata, pameran itu membuka peluang pihaknya menjalin usaha sama dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam usaha membangunkan bahan propelan atau bahan bakar peluru berasaskan biojisim kelapa sawit."Inisiatif itu bertujuan memastikan sumber bahan mentah lebih lestari, mengurangkan kos serta meningkatkan tahap industri pertahanan negara," katanya.Manakala, Jurutera Sistem Kanan syarikat Mindmatics Sdn Bhd, Dr Mursyidul Idzam Sabran berkata, pihaknya pula mempamerkan pembangunan "Tedung" iaitu sebuah sistem perisikan elektronik (ELINT)."Keunikan utama sistem Tedung terletak pada konsep operasinya yang pasif, iaitu keupayaannya mengesan sasaran tanpa memancarkan sebarang isyarat yang boleh mendedahkan kedudukannya," katanya.Dalam pada itu, Pengarah Shah Maju Group (SMG) Aviation, Sharifah Anissa Syed Shabahar berkata, syarikat itu mempamerkan dron pemintas berkelajuan tinggi 'The Ghost' sebagai perisai strategik negara yang dibangunkan sepenuhnya oleh kepakaran tenaga tempatan."Pameran ini memberi peluang kepada syarikat tempatan menunjukkan produk berkualiti untuk industri pertahanan," katanya.
Go to News Site