Sinar Harian
LANGKAWI – Tindakan tegas kerajaan menempatkan anggota polis di stesen minyak berisiko tinggi mula membuahkan hasil apabila jualan petrol RON95 di kawasan sempadan merekodkan penurunan sehingga 20 peratus dalam tempoh hanya seminggu pelaksanaan Op Tiris.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkembangan itu membuktikan ketirisan bahan api yang sebelum ini berlaku berjaya dikekang melalui pemantauan bersepadu melibatkan polis dan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).Menurutnya, anggota polis ditempatkan di 170 stesen minyak dikenal pasti berisiko tinggi berdasarkan jumlah jualan yang tinggi sebelum ini di sempadan."Sejak penempatan anggota polis bermula 13 hingga 21 April, data menunjukkan jualan RON95 menyusut 20 peratus, manakala RON97 pula meningkat di stesen terlibat."Ini menunjukkan strategi kita ‘mengena’ dan ini menunjukkan ketirisan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab (sebelum ini)," katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja di Teluk Ewa dan Pelabuhan Telaga Harbour di Langkawi pada Sabtu.Beliau berkata, Op Tiris akan terus diperkasakan bagi memastikan aktiviti penyeludupan bahan api yang menjejaskan subsidi kerajaan dapat dihentikan.Jelasnya, di Kedah, pelaksanaan Op Tiris bagi tahun 2026 sehingga 22 April lalu merekodkan sebanyak 58 kes melibatkan rampasan pelbagai barangan kawalan dengan jumlah keseluruhan 33,586 unit dan nilai RM121,945.45."Daripada jumlah itu, diesel mencatat nilai rampasan tertinggi sebanyak RM101,676.20, diikuti petrol RM10,561.54, minyak masak RM4,839.60, gas petroleum cecair (LPG) RM3,873.20, gula pasir kasar RM668.07 dan tepung gandum RM326.84."Statistik ini menunjukkan bahawa komoditi bahan api terus menjadi sasaran utama sindiket, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti laluan sempadan darat dan perairan negeri Kedah," ujarnya.Terdahulu, media melaporkan Jemaah Menteri bersetuju menempatkan anggota polis di stesen minyak di sempadan negara sebagai langkah memperkukuh penguatkuasaan susulan peningkatan risiko ketirisan bahan api akibat krisis tenaga global.
Go to News Site