Sinar Harian
ALOR SETAR – Pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) yang diadakan secara serentak mampu menjimatkan kos dan perkara tersebut wajar dipertimbangkan secara serius.Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan sokongan kepada cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengadakan pilihan raya serentak kerana penganjuran secara berasingan melibatkan perbelanjaan yang tinggi."Saya sepakat dengan Perdana Menteri supaya pilihan raya negeri dan Parlimen dibuat serentak. Kos akan jadi sangat besar jika diadakan secara berasingan dan perkara ini boleh dibincangkan," katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Cawangan dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas kawasan Alor Setar di sini.Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, tarikh dan proses pilihan raya boleh berlaku lebih awal daripada jangkaan.Menurutnya, PRN Kedah pula hanya boleh diadakan selepas Ogos 2026 apabila tempoh 36 bulan pentadbiran Dewan Undangan Negeri (DUN) genap."Kita jalankan pilihan raya negeri pada Ogos 2023. Apabila cukup 36 bulan pada Ogos 2026, barulah boleh dibubarkan. Sebarang cadangan untuk bubar sekarang tidak berasas," ujarnya.Beliau berkata, pembubaran DUN negeri ini boleh dilakukan serentak dengan beberapa negeri lain termasuk Melaka yang dijangka tamat penggal pada Disember 2026.Sehubungan itu, Muhammad Sanusi mengarahkan seluruh jentera parti supaya bersiap siaga menghadapi kemungkinan pilihan raya pada bila-bila masa selepas Ogos selain tidak mementingkan habuan yang jelas mampu mengugat kestabilan kerajaan."Jentera mesti bersedia sepenuhnya. Kita akan bentangkan rekod perkhidmatan wakil rakyat, Exco dan kerajaan negeri kepada rakyat."Kita tidak akan manipulasi. Kita akan bentangkan apa yang telah dilaksanakan berdasarkan kemampuan, biar rakyat nilai," katanya lagi.
Go to News Site