Sinar Harian
KOTA BHARU - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendedahkan kadar penyalahgunaan dadah di negeri-negeri sempadan negara masih berada pada tahap membimbangkan meskipun statistik keseluruhan penagih menunjukkan sedikit penurunan tahun lalu.Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, berdasarkan rekod semasa, negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis terus dikenal pasti antara kawasan berisiko tinggi berikutan kedudukannya berhampiran pintu masuk sempadan.Menurut beliau, jumlah penagih dadah yang direkodkan pada tahun 2025 menurun sebanyak 0.5 peratus kepada 191,000 orang berbanding 192,000 pada tahun sebelumnya."Walaupun ada sedikit penurunan, kita tidak boleh berasa selesa kerana negeri-negeri sempadan masih mencatatkan kadar yang tinggi. Ini memerlukan tindakan berterusan dan lebih agresif."Kita akan mempertingkatkan program pencegahan, rawatan serta pemulihan khususnya di kawasan berisiko tinggi," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.Sebelum itu, beliau merasmikan Program Sua Mesra AADK di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang di sini.Beliau memberitahu, pengukuran kadar penagihan dibuat berdasarkan nisbah setiap 100,000 penduduk dan dapatan semasa menunjukkan negeri-negeri sempadan masih mengatasi negeri lain.Ruslin menjelaskan, walaupun kawalan ketat dilakukan agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA), sindiket dadah masih menggunakan pelbagai laluan lain untuk membawa masuk bekalan.Sehubungan itu katanya, fokus utama AADK tahun ini adalah mengurangkan permintaan terhadap dadah melalui pendekatan berasaskan komuniti, pendidikan awal serta pemulihan lebih menyeluruh."Selain itu, kita juga akan mula merekodkan data penagihan mengikut daerah bagi membolehkan tindakan lebih tepat dan bersasar dilaksanakan."AADK turut meneliti penggubalan Dasar Dadah Negara baharu bagi tempoh lima tahun akan datang selaras peningkatan trend penagihan global sebanyak 20 peratus seperti dilaporkan UNODC (Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah)," katanya.
Go to News Site