Sinar Harian
KUALA PILAH - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki secara sinis menyatakan bahawa beliau tidak akan berhimpun di hadapan Sogo seperti dilakukan pihak tertentu selepas menamatkan perkhidmatan pada 12 Mei depan.Beliau berkata, memandangkan keadaan fizikalnya masih sihat, pelbagai aktiviti yang boleh dilakukannya termasuk bersukan."Perancangan saya belum tahu lagi kerana saya masih sihat lagi, boleh joging, naik basikal dan sebagainya."Jadi saya tidak akan berhimpun di Sogo akan datang," katanya ditemui pemberita selepas Penyerahan Masjid Kariah Kampung Terentang, Padang Lebar di sini pada Sabtu.Beliau turut memberitahu, tidak mempunyai perancangan untuk menyertai parti politik kerana beliau merupakan seorang pegawai kerajaan yang mahu berbakti kepada rakyat.Selain itu, Azam mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana telah menyambung kontrak perkhidmatannya sebanyak tiga kali sebelum ini.Pada masa sama beliau menyatakan keyakinan bahawa agensi itu akan terus cemerlang di bawah Datuk Seri Abdul Halim Aman yang dilantik berkuat kuasa 13 Mei depan."Seperti mana yang semua tahu, 12 Mei depan adalah tarikh akhir saya."Saya ingin berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana telah memberi kepercayaan kepada saya apabila menyambung kontrak saya sebanyak tiga kali dan ini merupakan satu penghormatan kepada saya," katanya.Ujar beliau, kesemua pegawai dan kakitangan SPRM diseru memberi kerjasama yang tidak berbelah bahagi kepada Abdul Halim."Saya yakin yang kecemerlangan SPRM akan berterusan dipamerkan oleh pegawai saya di bawah kepimpinan baharu," katanya.Untuk rekod, Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.Beliau menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mac 2020 sebelum dilantik semula menerajui agensi itu pada 2020 dan 2023.
Go to News Site