Sinar Harian
KUALA PILAH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenal pasti seramai 40 saksi lagi bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana berjumlah RM230 juta membabitkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor.Ketua Pesuruhajaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini seramai 11 individu telah pun dirakam keterangan berhubung kes terbabit."Kita sedang menyiasat kes ini dan ada lebih kurang 40 saksi dalam radar kami untuk dipanggil bagi membantu siasatan."Seperti mana saya pernah sebut semalam, isu ini bukan tentang penyalahgunaan duit zakat, tapi daripada siasatan yang kita jalankan, mereka ini merupakan sebuah NGO yang mendapat komisen dalam mengutip sumbangan daripada orang ramai," katanya ditemui pemberita selepas Penyerahan Masjid Kariah Kampung Terentang, Padang Lebar di sini pada Sabtu.Menurutnya, NGO terbabit mendapat 60 peratus daripada kutipan sumbangan berkenaan manakala hanya 40 peratus diberikan kepada pihak yang memohon mereka untuk membuat kutipan.Ujarnya, secara jelas pihak NGO telah menyalahgunakan wang itu untuk kegunaan diri sendiri dan juga untuk kepentingan yang berkaitan dengan keluarga mereka dan sebagainya."Jadi mana-mana harta dan wang sekiranya didapati dari sumber tidak sah, kami akan terus bekukan untuk mengenal pasti adakah itu wang mereka atau pun wang yang telah diselindungkan," katanya.Berkenaan kes penyelewengan dana NGO berjumlah RM12.3 juta melibatkan seorang pendakwah bebas di Nilai, beliau berkata, seramai 15 saksi telah pun dirakam keterangan setakat ini, manakala seramai 14 lagi individu yang dalam radar SPRM akan dipanggil bagi membantu siasatan.Ujarnya, pihaknya juga kemungkinan akan membuat permohonan menyambung reman pendakwah berusia lingkungan 30-an itu berikutan tempoh remannya akan berakhir pada Ahad."Reman pendakwah itu akan tamat pada hari esok, tetapi kami jangka akan memohon untuk tambahan reman kerana kita memerlukan lagi masa untuk mengesan dokumen dan juga saksi-saksi yang berkaitan untuk selesaikan peringkat siasatan," katanya.Sementara itu, Azam memaklumkan bahawa proses siasatan kedua-dua kes terbabit kemungkinan akan mengambil sedikit masa kerana SPRM perlu mendapatkan maklumat daripada institusi bank."Kedua-dua kes ini, selain daripada kita membuka kertas siasatan untuk melihat kesalahan di bawah Seksyen 23, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, kita juga melihat pada kesalahan di bawah Seksyen 403 iaitu secara jenayah menggunakan harta secara curang."Kita juga melihat kesalahan pecah amanah dan telah membuka fail kesalahan pengubahan wang haram bagi kedua-dua kes," katanya.Terdahulu beliau menandatangani majlis Penyerahan Masjid Kariah Kampung Terentang bersama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Datuk Mohd Asri Abdullah.Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Go to News Site