Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Isu rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa tidak boleh dilihat sebagai polemik politik semata-mata, sebaliknya ia merupakan persoalan besar yang menyentuh kepentingan rakyat secara keseluruhan.Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan, sekiranya amalan rasuah dibiarkan berleluasa, ia seolah-olah memberi ruang kepada wang untuk membeli segala-galanya termasuk keadilan dalam sistem negara.Menurutnya, keadaan itu sekali gus akan menafikan hak rakyat biasa untuk mendapat pembelaan sewajarnya."Kalau isu rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa, ini bukan isu ahli politik, ini isu masyarakat, isu rakyat."Kalau kita benarkan rasuah, maknanya kita benarkan wang boleh membeli apa-apa sahaja," katanya ketika berucap pada Himpunan Tangkap Azam Baki di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini pada Sabtu.Rafizi turut menegaskan bahawa dalam sistem semasa, wujud persepsi bahawa golongan berkuasa dan berpengaruh memiliki peraturan berbeza berbanding rakyat biasa.Katanya, pengalaman berada dalam kerajaan membuka ruang untuk beliau melihat sendiri bagaimana budaya tersebut boleh mempengaruhi sistem pentadbiran."Kita hidup dalam satu sistem negara yang mana yang ada kuasa dan wang, mereka ada peraturan yang lain daripada rakyat biasa."Bila kita cuba ubah, akan ada tekanan dan sistem akan digunakan untuk menutup suara," katanya.Dalam masa sama, beliau menyifatkan himpunan tersebut sebagai manifestasi keberanian rakyat, khususnya golongan muda, yang terus bersuara terhadap isu integriti dan tadbir urus negara."Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang politik membuktikan bahawa isu tersebut melangkaui sempadan kepartian."Hari ini kita berkumpul, ada pelbagai parti, pelbagai latar belakang, ini bukan soal parti, ini soal rakyat," katanya.Tambah beliau, rakyat boleh berbeza pandangan dalam banyak perkara termasuk dasar dan polisi, namun tidak dalam soal keadilan dan penolakan terhadap rasuah."Kalau sistem tidak boleh berlaku adil, maka wajib untuk kita bersuara," ujarnya.Rafizi dalam pada itu turut menggesa supaya siasatan bebas dilaksanakan terhadap dakwaan berkaitan isu mafia korporat yang dibangkitkan sejak kebelakangan ini.Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan penguatkuasaan tidak terus terhakis.
Go to News Site