Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Polis giat mengesan pelaku yang mencetuskan kekecohan dengan membakar mercun ketika Himpunan Tangkap Azam Baki di ibu negara pada Sabtu.Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.Menurutnya, usaha sedang dibuat untuk mengenal pasti individu yang terlibat serta mengesan dalang di sebalik insiden berkenaan."Setakat ini, polis tidak dapat mengesahkan sama ada insiden pembakaran mercun tersebut merupakan satu bentuk sabotaj atau sebaliknya."Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengumpul bukti dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab," katanya ketika ditemui pemberita di Dataran Merdeka di sini selepas himpunan terbabit selesai.Beliau berkata, sehingga kini, tiada laporan polis diterima daripada orang awam atau peniaga berkaitan kejadian itu.Jelasnya, hasil pemeriksaan turut menemui satu bungkusan mercun yang tidak sempat diletupkan, dipercayai jenis mercun sambutan perayaan."Polis juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil penganjur, individu terlibat serta saksi bebas yang menyaksikan kejadian bagi membantu melengkapkan siasatan," ujarnya.Dalam pada itu, Sazalee memaklumkan perhimpunan tersebut dianggarkan disertai kira-kira 300 peserta yang berarak dari Sogo hingga ke persimpangan Jalan Tun Perak berhampiran Dataran Merdeka sebelum bersurai pada jam 5.30 petang."Seramai 200 anggota polis terlibat dalam operasi pemantauan, termasuk bantuan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Bukit Aman," ujarnya.Kata beliau, pihak polis tidak menerima sebarang permohonan atau pemakluman rasmi daripada sekretariat himpunan terbabit berhubung penganjuran himpunan tersebut."Polis ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman sepanjang penganjuran himpunan hari ini," katanya.
Go to News Site