Collector
'Rakyat tuntut hasil nyata dalam usaha perangi rasuah, salah guna kuasa' - Takiyuddin | Collector
'Rakyat tuntut hasil nyata dalam usaha perangi rasuah, salah guna kuasa' - Takiyuddin
Sinar Harian

'Rakyat tuntut hasil nyata dalam usaha perangi rasuah, salah guna kuasa' - Takiyuddin

SHAH ALAM - Pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dilihat lebih daripada sekadar pertukaran individu di peringkat kepimpinan, kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.Takiyuddin berpandangan, ia perlu menjadi titik permulaan kepada usaha menyeluruh untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai institusi yang benar-benar bebas, berwibawa dan bertaraf dunia sehingga digeruni penjenayah serta dihormati masyarakat antarabangsa.Menurut beliau, rakyat sudah semestinya mahu melihat siasatan dijalankan tanpa memilih bulu, campur tangan politik atau layanan berbeza berdasarkan kedudukan, pengaruh atau kepentingan tertentu yang jelas bakal menghakis kepercayaan."PN mengalu-alukan pelantikan Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu."Kami percaya pelantikan seorang tokoh berpengalaman dalam bidang kehakiman dan perundangan boleh membawa harapan baharu ke arah memperkukuh integriti, ketegasan serta profesionalisme agensi pencegahan rasuah negara."Ia turut mewujudkan jangkaan bahawa SPRM dipimpin lebih bebas dan adil berteraskan prinsip kedaulatan undang-undang, setelah agensi tersebut bergelut dengan pelbagai dakwaan serta publisiti di bawah kepimpinan terdahulu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas turut meminta supaya kes-kes berprofil tinggi, isu ketidakcekapan atau salah laku melibatkan kepentingan awam disiasat secara telus, profesional sehingga disusuli tindakan sewajarnya.Ahli Parlimen Kota Bharu itu dalam masa sama menggesa kerajaan mempertimbangkan langkah untuk memperkukuh mekanisme semak dan imbang, meningkatkan ketelusan proses pelantikan serta memperkasa perlindungan pemberi maklumat.Selain itu, katanya, menambah baik keupayaan teknologi dan kepakaran forensik kewangan serta memastikan akauntabiliti menyeluruh berkaitan SPRM agar setanding agensi antirasuah terbaik dunia."Rakyat menuntut hasil nyata dalam usaha memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menjadi barah hingga membunuh keberhasilan bakat serta potensi negara ini sejak sekian lama."Justeru, PN akan terus menyokong usaha-usaha tulen untuk membanteras rasuah, termasuk cadangan meletakkan SPRM di bawah kawalan terus Parlimen selain kekal tegas menyambut baik reformasi institusi yang jujur dan berani demi kepentingan negara," ujarnya.Abdul Halim dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuatkuasa pada 13 Mei depan.Bekas Hakim Mahkamah Tinggi itu menggantikan Tan Sri Azam Baki yang tamat kontraknya pada 12 Mei.Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pelantikan itu selepas cadangan dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.Menurut beliau, ia selaras dengan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Go to News Site