Sinar Harian
TUMPAT - Seorang lelaki tidak sempat menikmati upah RM100 apabila ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama 8.5 tan beras dipercayai diseludup dari Thailand dalam serbuan di Kampung Kubang Batang di sini pada Sabtu.Rampasan menerusi Op Taring Wawasan itu turut melibatkan sebuah lori jenis Isuzu, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM114,000.Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 4.30 petang hasil pemantauan anggota Risik Batalion 9 PGA Kuala Terengganu bersama Kawalselia Padi dan Beras Negara Kelantan.Menurut beliau, ketika rondaan di kawasan Jalan Kampung Kubang Batang, anggota mengesan sebuah lori putih dalam keadaan mencurigakan berhampiran lampu isyarat hadapan Masjid Air-Rahman sebelum menahan kenderaan tersebut untuk pemeriksaan."Hasil pemeriksaan di bahagian muatan belakang lori menemui guni-guni putih berisi 8,500 kilogram beras yang disyaki diseludup dari Thailand. Pemandu lori berusia 31 tahun terus ditahan bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita pada Ahad.Ujar beliau, siasatan awal mendapati suspek mengaku menerima upah RM100 bagi setiap penghantaran mengikut arahan pihak tertentu.Katanya, lori yang digunakan dipercayai diambil di kawasan Bunohan sebelum beras berkenaan dihantar ke lokasi ditetapkan sekitar daerah Besut, Terengganu.Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994 dan rampasan telah diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras Negara Kelantan untuk tindakan lanjut.Tambah Ahmad Radzi, pihaknya akan terus mempertingkat risikan serta operasi bersepadu bersama agensi berkaitan bagi mengekang aktiviti penyeludupan di sempadan negara.
Go to News Site