Sinar Harian
SHAH ALAM - Sekadar menjadi alas tidur kerana jarang digunakan antara alasan segelintir nelayan dikesan menyalahgunakan jaket keselamatan ketika di laut.Tindakan itu mendedahkan mereka kepada risiko kehilangan nyawa sekiranya berlaku kecemasan.Pendedahan itu menggambarkan realiti membimbangkan dalam kalangan komuniti nelayan apabila peralatan keselamatan diwajibkan hanya sekadar memenuhi syarat pelesenan.Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, penyediaan peralatan keselamatan termasuk jaket keselamatan menjadi antara syarat lesen penangkapan ikan.Menurutnya, setiap vesel perlu mematuhi syarat ketika proses pembaharuan lesen secara tahunan."Secara asasnya, semua vesel berlesen mematuhi syarat penyediaan peralatan keselamatan seperti digariskan."Jika terdapat kekurangan, teguran dibuat dan nelayan perlu melengkapkannya sebelum proses seterusnya," katanya kepada Sinar Ahad.Bagaimanapun, beliau menjelaskan, tahap pematuhan dari segi penyediaan tidak semestinya mencerminkan amalan sebenar ketika berada di laut."Daripada pemeriksaan dijalankan, kebanyakan vesel menyediakan peralatan keselamatan asas seperti jaket keselamatan, boya dan alat pemadam api."Namun, dari segi penggunaan, pemakaian jaket keselamatan masih belum konsisten," katanya.Menurutnya, terdapat situasi di mana jaket keselamatan hanya disimpan tanpa digunakan kru semasa menjalankan aktiviti menangkap ikan.Lebih membimbangkan, ada dalam kalangan nelayan menyimpan jaket keselamatan di tempat yang sukar dicapai sekiranya berlaku kecemasan."Antaranya menyimpan jaket di tangki penyimpanan atau jauh di ruang kemudi."Terdapat juga kes jaket keselamatan digunakan sebagai alas tidur sehingga tidak lagi berfungsi dengan baik," katanya.Situasi itu membuktikan peralatan keselamatan sekadar wujud, tetapi gagal berfungsi seperti sepatutnya ketika diperlukan.Dalam keadaan tertentu, kegagalan menggunakan peralatan tersebut boleh meningkatkan risiko kehilangan nyawa.Noraisyah berkata, antara penemuan lain hasil pemeriksaan termasuk jaket keselamatan tidak mencukupi berbanding jumlah kru.Menurutnya, terdapat juga jaket tidak ditandakan nombor vesel seperti disyaratkan."Bagi peralatan lain pula, ada boya keselamatan tidak dilengkapi tali dan lampu manakala alat pemadam api berada dalam keadaan uzur atau tamat tempoh."Ada juga peralatan tidak disimpan di lokasi sepatutnya seperti ditetapkan dalam syarat lesen," kata beliau.Menurutnya, situasi itu menunjukkan masih wujud jurang antara pematuhan syarat dan amalan sebenar di lapangan.Mengulas lanjut, beliau berkata, antara faktor menyebabkan nelayan tidak memakai jaket keselamatan adalah kerana berasa tidak selesa."Sebahagian nelayan berpendapat pemakaian jaket keselamatan mengganggu pergerakan mereka."Selain itu, cuaca panas menyebabkan mereka kurang selesa memakainya dalam tempoh lama," katanya.Menurutnya, persepsi aktiviti menangkap ikan dijalankan berhampiran pantai kurang berisiko turut mempengaruhi sikap tersebut."Ada nelayan yang menganggap risiko berlakunya kejadian tidak diingini adalah rendah kerana tidak pergi jauh ke laut."Pengalaman lama di laut juga menyebabkan sesetengah nelayan yakin tanpa peralatan keselamatan," katanya.Bagaimanapun, beliau menegaskan kemalangan di laut boleh berlaku tanpa mengira jarak atau pengalaman."Langkah pencegahan seperti memakai jaket keselamatan amat penting kerana membantu menyelamatkan nyawa."Peralatan ini direka membantu seseorang kekal terapung di permukaan air terutama dalam situasi terjatuh ke laut atau bot karam serta meningkatkan peluang mangsa terus hidup sementara menunggu bantuan tiba," katanya.Noraisyah berkata, dalam aspek penguatkuasaan, pihaknya menjalankan pemeriksaan secara berkala sama ada di laut atau di jeti pendaratan ikan selain semasa proses pembaharuan lesen vesel bagi memastikan semua syarat dipatuhi."Tindakan kompaun boleh dikenakan terhadap pemilik vesel yang gagal menyediakan peralatan keselamatan seperti ditetapkan."Sebagai contoh, beberapa vesel dikompaun selepas didapati tidak menyediakan peralatan keselamatan mencukupi ketika pemeriksaan penguatkuasaan di laut," jelas Noraisyah.Menurutnya, elemen nasihat dan pendidikan turut digunakan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan nelayan."Pendekatan DOF lebih kepada memastikan pematuhan syarat lesen dan membantu nelayan memperbaiki kekurangan yang ada."Ini termasuk program advokasi bersama persatuan nelayan selain kerjasama turut dijalinkan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor," katanya.Beliau berkata, keselamatan di laut merupakan tanggungjawab bersama semua pihak."DOF memberi fokus kepada pematuhan syarat pelesenan, manakala Maritim Malaysia memainkan peranan dalam aspek keselamatan maritim serta operasi mencari dan menyelamat."Komuniti nelayan perlu memastikan jaket keselamatan berada dalam keadaan baik dan mudah dicapai kerana ia boleh menjadi faktor penentu antara hidup dan mati," katanya.
Go to News Site