Collector
Pendidikan tuntas lahir generasi muda berdaya saing tinggi - PM | Collector
Pendidikan tuntas lahir generasi muda berdaya saing tinggi - PM
Sinar Harian

Pendidikan tuntas lahir generasi muda berdaya saing tinggi - PM

KUALA LUMPUR - Pendidikan yang tuntas dan holistik boleh melahirkan generasi muda berdaya saing tinggi, bukan sahaja di peringkat nasional malah mampu menembusi pentas antarabangsa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Beliau yang menjadikan kecemerlangan Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) meraih pengiktirafan antarabangsa termasuk Anugerah Emas di Vienna, Austria pada tahun lepas sebagai contoh, berkata, kejayaan itu mencerminkan bahawa ekosistem pendidikan negara yang didukung oleh guru, ibu bapa dan masyarakat berupaya menyemarak bakat serta membina sahsiah unggul."Saya menyeru agar usaha murni ini terus disokong oleh semua pihak, termasuk sektor swasta dan masyarakat, demi memastikan perjalanan anak-anak ini ke pentas dunia seperti World Music Contest 2026 dapat dijelmakan."Walhasil, inisiatif seperti ini bukan sekadar tentang muzik, tetapi tentang membina legasi generasi yang berani, berbudaya dan berdaya saing di persada global," kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook.Semalam, Anwar ketika menghadiri konsert "Winds of Glory" oleh pasukan orkestra SPWinds bersama Amir Masdi mengumumkan sumbangan RM100,000 kepada pasukan orkestra itu sebagai tanda sokongan serta galakan kepada kumpulan berkenaan untuk melaksanakan program dan aktiviti yang menyumbang kemenjadian murid melalui kecemerlangan seni.Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kerjasama strategik bersama penggiat seni profesional seperti Amir Masdi tidak semata-mata memperkaya pengalaman pembelajaran, bahkan menjadi wahana penting dalam memperluas pemikiran dan keyakinan murid.Konsert amal anjuran Kumpulan Sokongan Ibu Bapa SPWinds (KSIB) di bawah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SSP yang berlangsung Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu bertujuan mengumpul dana bagi menyertai World Music Contest (WMC) 2026, di Belanda pada Julai ini. - Bernama

Go to News Site