Sinar Harian
TENOM - Seorang lelaki maut manakala isterinya parah dan adik sepupunya cedera selepas pacuan empat roda yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Tenom-Enubai berhampiran Kampung Sri Meranti, di sini, pada malam Sabtu.Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, pemandu, Victor Chung Yin Tat, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala isterinya yang duduk di bahagian hadapan, Sarah Kristina Marathon, 37, cedera di bahagian badan serta mengalami patah rusuk kiri.Sementara itu, adik sepupunya, Brian Jinan, 28, mengalami kecederaan di bahagian kepala.Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Admir Abd. Razak berkata, kemalangan berlaku melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux."Siasatan awal mendapati mangsa memandu dari arah Kampung Binsilon menuju ke Pekan Tenom dan sebaik tiba di lokasi, keadaan cuaca hujan lebat."Dalam kejadian itu, kenderaan yang dipandu hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan dan terbalik di atas bahu jalan."Akibat kemalangan itu, pemandu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Tenom, manakala dua lagi penumpang yang cedera dibawa ke hospital sama dengan menaiki ambulans untuk rawatan susulan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.Tambahnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu sendiri yang memandu secara cuai sehingga menyebabkan kejadian tersebut."Bagaimanapun, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Go to News Site