Sinar Harian
SHAH ALAM - Seorang lelaki tempatan yang disiasat berkenaan isu agama di Taman Seraya, Ampang dikenakan Senarai Pekeliling Khas bagi memastikan individu itu tidak keluar dari negara.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menerima laporan yang dibuat oleh beberapa individu terutamanya daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Taman Seraya berkaitan dengan satu petisyen yang berlegar di kawasan tersebut.Menurutnya, ekoran itu, pihak polis telah membuka siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998."Rakaman percakapan juga telah diambil melibatkan AJK surau dan penduduk komuniti di kawasan tersebut selain satu laporan daripada pejabat ahli majlis."Setakat ini suspek masih belum ditangkap, tetapi telah dibuat Senarai Pekeliling Khas untuk memastikan beliau tidak terlepas keluar dari Malaysia," katanya kepada pemberita selepas program Larian Diraja Selangor Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Masyarakat di Elmina Lake Side Mall di sini pada Ahad.Tambahnya, Senarai Pekeliling Khas itu bermaksud apabila ia didaftarkan, individu itu akan menghadapi kesukaran untuk ke luar negara sebab nama telah didaftarkan di lapangan terbang dan sekiranya dikesan, penama itu akan ditangkap.Shazeli berkata, usaha telah dijalankan untuk mengesan dan membuat tangkapan ke atas individu terbabit.Katanya, siasatan awal mendapati individu tersebut adalah antara penghuni di taman tersebut."Siasatan masih belum lengkap. Jadi, kita sedang meneliti motif sebenarnya."Beri kami peluang untuk menjalankan siasatan dengan telus dan adil kepada semua pihak yang terlibat," ujarnya.Kata beliau, masyarakat yang mengetahui keberadaan individu terbabit diminta berhubung dengan pihak IPD Ampang Jaya bagi membantu siasatan.Tegasnya, PDRM mengingatkan semua masyarakat supaya elakkan diri daripada memberi komen atau pun mengeluarkan kenyataan yang boleh membawa kepada kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948."Kita hendaklah menjaga keharmonian. Saya menyeru kepada semua untuk mengawal emosi kita dalam membuat sebarang tindakan dan juga kenyataan supaya tidak mengguris dan boleh membuat satu kesalahan Akta Hasutan atau pun lain-lain kesalahan," ujarnya.Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan AJK Surau Taman Seraya membuat 10 laporan polis berkaitan dakwaan gangguan melibatkan seorang penduduk di kawasan tersebut.Pengerusi Surau Taman Seraya, Abdullah Sulaiman dilaporkan berkata, laporan itu dibuat bukan bertujuan mencetuskan sebarang konflik, sebaliknya bagi menangkis dakwaan fitnah surau berkenaan.Antara perkara yang dibangkitkan ialah dakwaan bahawa laungan azan yang berkumandang ketika ini mengganggu individu terbabit selain, dia meminta agar solat Jumaat yang telah dilaksanakan sejak 15 November 2019 dihentikan kerana mengganggu laluan trafik.
Go to News Site