Collector
Krisis adat NS: Henti tunding jari, salah menyalah | Collector
Krisis adat NS: Henti tunding jari, salah menyalah
Sinar Harian

Krisis adat NS: Henti tunding jari, salah menyalah

SEREMBAN - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan menyeru semua pihak agar berhenti menuding jari dan saling menyalahkan antara satu sama lain berhubung krisis adat yang sedang berlaku ketika ini.Ketua AMK Negeri Sembilan, Mohamad Hamizan Mohd. Bahtiar berkata, jika terdapat proses kehakiman atau ruang perundangan yang sedang atau bakal berjalan, maka biarlah keputusan kehakiman menjadi penentu."Berhubung segala dakwaan yang dibangkitkan, termasuk dakwaan terhadap pimpinan utama negeri, AMK menegaskan bahawa prinsip kedaulatan undang-undang perlu dihormati."Jangan sesekali kita menghukum melalui kenyataan politik, persepsi media sosial atau tekanan awam sebelum proses yang sah disempurnakan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Menurutnya, AMK juga menolak sebarang usaha yang boleh mengheret sistem adat Perpatih ke dalam polemik politik secara tidak bertanggungjawab.Tambahnya, adat Perpatih ialah warisan besar Negeri Sembilan yang telah bertapak ratusan tahun dan ia mesti dihormati, dipelihara dan tidak dijadikan bahan pertikaian politik sehingga mencalar imej negeri beradat ini."AMK Negeri Sembilan yakin pembesar negeri, pembesar adat Perpatih mahupun pembesar pentadbiran negeri akan terus menjalankan peranan mereka secara profesional, berlandaskan Perlembagaan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan."Kami juga menyeru semua pihak agar bertenang dan tidak terus meniup api perpecahan."Ingat, buat mereka yang suka menangguk di air keruh, jangan jadi seperti pepatah menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri," katanya.Selain itu, Mohamad Hamizan berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan pelbagai pihak yang membangkitkan pelbagai persoalan berhubung isu pentadbiran negeri serta penangguhan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).Jelasnya, AMK Negeri Sembilan berpandangan bahawa dalam suasana politik dan pentadbiran yang sedang diperhatikan rakyat, semua pihak seharusnya memilih jalan yang matang, tertib dan bertanggungjawab."Sidang DUN ialah medan demokrasi yang penting, namun ia tidak wajar dijadikan ruang untuk memperbesar tuduhan, menghangatkan polemik atau menambah kekeliruan rakyat tanpa asas dan proses yang jelas," katanya.

Go to News Site