Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) melakar sejarah tersendiri apabila penganjuran Kem Jade 2026 berjaya mencipta dua rekod peringkat ASEAN dan Asia.Kem yang disertai 2,031 peserta dari seluruh negara itu diiktiraf sebagai 'Kem Pandu Puteri Terbesar di stadium bersebelahan Bangunan Kedua Tertinggi Di Dunia sempena Sambutan Ulang Tahun ke-110'.Pengiktirafan itu disampaikan oleh Pengarah Urusan ASEAN Records, Gillian Ooi dan Eldrick Koh kepada Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datuk Yeoh Soo Keng di Stadium Merdeka di sini.Soo Keng berkata, penganjuran di lokasi bersejarah dengan berlatarbelakangkan Menara Merdeka 118 itu menambah nilai simbolik kepada sambutan berkenaan.Menurut beliau, program tersebut bukti semangat perpaduan dan kepimpinan yang berterusan yang telah membentuk Pandu Puteri di Malaysia selama lebih satu abad."Dalam keghairahan untuk menerima kecerdasan buatan (AI) tanpa batas sehingga kita mengabaikan keunikan sebagai rakyat negara ini."Kita memerlukan peringatan dalam sejarah dengan menghubungkan warisan negara yang kaya dengan visi masa depan yang mampan dan berdaya maju," katanya ketika berucap.Kem Jade 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim.Soo Keng berkata, anugerah itu merupakan pencapaian tertinggi buat PPPM sejak penubuhannya tahun 1916."Kami berbesar hati menerima pengiktirafan ini daripada ASEAN dan Asia Records serta terima kasih kepada ahli-ahli merangkumi kelip-kelip hingga Trefoil Guild yang menjayakan perancangan ini."Kem ini akan terus menjadi titik pertemuan fizikal dan bermakna dalam usaha membangunkan potensi kanak-kanak perempuan serta wanita muda," katanya lagi.Sementara itu, Izwan Hasli berkata, selaku penyedia lokasi, pencapaian PPPM merupakan aspirasi besar yang membanggakan apabila mengangkat nama negara di persada serantau.Tambahnya, program tersebut menjadi platform pembelajaran holistik dalam membentuk jati diri serta kepimpinan generasi muda."Kem ini bukan sekadar perkhemahan sebaliknya ia mengasah kemahiran kepimpinan, memperkukuh disiplin serta memupuk semangat kebersamaan menerusi pelbagai aktiviti yang dirangka sepanjang program."Penganjuran di lokasi bersejarah ini juga diharapkan dapat memberi inspirasi kepada peserta untuk menghayati nilai pandu puteri dan kekal terhubung dengan sejarah yang membentuk masa depan kita," ujarnya.
Go to News Site