Sinar Harian
TAWAU - 'Jangan dekat, kalau tidak aku bunuh anak-anak dan bini aku', demikian ugutan seorang lelaki yang mengamuk di kawasan perumahan pekerja di sebuah ladang di Kalabakan, pada Khamis lalu.Lelaki berusia 39 tahun itu yang turut bertindak mengurung tiga anak dan isterinya di dalam rumah serta mengugut membunuh mereka sambil memegang sabit.Bagaimanapun, insiden selama tujuh jam iaitu sejak 8.30 malam itu berakhir apabila suspek berjaya dipujuk dan ditahan keesokan harinya oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintenden Zulham Affendi Zulkifli.Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin memaklumkan bahawa pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian seorang lelaki telah bertindak agresif di rumahnya."Suspek dipercayai berada dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah telah bertindak mengunci isteri dan tiga anaknya di dalam rumah."Suspek juga turut mengugut sesiapa yang cuba masuk dan turut mengeluarkan kata ugutan akan membunuh mereka sambil membaling sabit ke arah individu yang cuba menenangkan keadaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Susulan kejadian itu, Jasmin berkata, sepasukan polis telah digerakkan ke lokasi."Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati rumah dalam keadaan gelap dan terdapat beberapa senjata berbahaya termasuk parang, sabit serta paip besi didalamnya."Polis turut mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk memujuk suspek yang berada dalam keadaan agresif sebelum bertindak menyerbu masuk bagi menyelamatkan mangsa."Dalam operasi tersebut, pasukan kita turut menggunakan Taser Gun (senjata perenjat elektrik) bagi melumpuhkan suspek yang bertindak agresif sebelum berjaya ditahan pada jam 10.30 pagi keesokan harinya," jelasnya.Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan."Kesemua barangan berbahaya dan senjata tajam turut dirampas semasa penahanan suspek dibuat."Kes disiasat mengikut Seksyen 342 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Bahan Letupan," katanya.Jasmin dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya berdepan situasi ancaman, keganasan rumah tangga atau individu bertindak luar kawalan bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Go to News Site