Sinar Harian
SHAH ALAM - Pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu disifatkan sebagai ujian terhadap integriti institusi negara dan peluang penting untuk melaksanakan reformasi menyeluruh dalam usaha membanteras rasuah.Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa ruang yang jelas untuk perubahan.Bagaimanapun, menurutnya, beban tanggungjawab semata-mata tidak akan menggerakkan perubahan tetapi keberanian, iltizam dan sokongan rakyat."Integriti bukanlah suatu gelaran, ia melangkaui istiadat dan kenyataan media. Integriti terpancar dalam keputusan yang dibuat secara rahsia, dalam siasatan yang diteruskan tanpa gentar dan dalam panggilan yang tidak dijawab kerana keadilan tidak boleh dirunding atau diperdagangkan."Bertahun-tahun lamanya, ramai yang menzahirkan desakan demi desakan. Kita mendesak tatkala ia tidak selesa, ketika disaran menunggu, bersabar dan mempercayai proses."Kita terus mendesak kerana rakyat Malaysia berhak menuntut sebuah badan pencegah rasuah yang tunduk kepada undang-undang bukan individu berkuasa, jaringan kepentingan dan sesiapa yang namanya disiasat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Nurul Izzah turut mengingatkan bahawa pelantikan baharu tidak menjamin pembaharuan automatik memandangkan pengalaman lalu menyaksikan wujudnya keraguan, kompromi senyap dan kelewatan keadilan yang akhirnya menjejaskan kepercayaan rakyat."Kita tidak boleh dan tidak mampu mengulangi kegagalan itu. Reformasi sebenar kadangkala tidak lantang dan ia tidak semestinya menarik perhatian."Ia berlaku melalui semakan terhadap Akta SPRM 2009, pengukuhan perlindungan institusi dan melalui kebertanggungjawaban sebenar kepada Parlimen. Bukan sekadar formaliti, tetapi sebagai asas yang kukuh."Tanpa perubahan struktur ini, segala kemajuan yang diraikan hari ini berisiko runtuh pada hari esok," ujarnya.Justeru, Nurul Izzah meminta rakyat Malaysia yang pernah melahirkan kemarahan terhadap rasuah atau merasai ketidakadilan supaya tidak berpaling."Teruslah melibatkan diri kerana perubahan tidak berlaku ke atas kita, ia berlaku kerana kita insya-ALLAH," jelasnya lagi.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Abdul Halim dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa pada 13 Mei depan.Bekas Hakim Mahkamah Tinggi itu menggantikan Tan Sri Azam Baki yang tamat kontraknya pada 12 Mei.Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pelantikan itu selepas cadangan dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.Menurut beliau, ia selaras dengan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Go to News Site