Collector
Benarkah PH berisiko 'gone' jika PRU diadakan sekarang? | Collector
Benarkah PH berisiko 'gone' jika PRU diadakan sekarang?
Sinar Harian

Benarkah PH berisiko 'gone' jika PRU diadakan sekarang?

PROFESOR Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, Ketua Penyelidik Ilham Centre merangkap Pensyarah Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada Ahad lalu membuat kenyataan berani bahawa jika pilihan raya diadakan sekarang atau dalam kondisi ini, Pakatan Harapan (PH) akan tumbang atau 'gone'.Berdasarkan pandangan beberapa penganalisis politik, risiko tersebut tidak berpunca daripada satu faktor tunggal, tetapi merupakan hasil gabungan empat krisis utama yang berlaku secara serentak, iaitu kemerosotan sokongan pilihan raya, perpecahan dalaman PKR sebagai tunjang utama PH, serta kegagalan kerajaan mengurus tekanan kos sara hidup rakyat selain persepsi tadbir urus yang semakin merudum.Prestasi PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi amaran paling jelas terhadap kemerosotan sokongan ini apabila PKR hanya berjaya memenangi satu kerusi daripada 22 yang ditandingi, manakala DAP gagal mempertahankan kesemua lapan kerusi yang pernah dimenanginya pada PRN 2020.Keputusan ini menunjukkan bahawa PH bukan sahaja gagal memperluas pengaruh di Malaysia Timur, malah turut kehilangan kekuatan tradisionalnya di kawasan bandar.Menurut penganalisis politik, Mohamad Afifi Abdul Razak, situasi ini memberi gambaran bahawa jenama PH semakin terhakis.Di Sabah, katanya, kegagalan DAP memenangi sebarang kerusi menunjukkan bahawa parti tersebut tidak lagi kebal di kawasan bandar, manakala prestasi lemah PKR pula membuktikan kegagalan parti itu membina akar umbi yang kukuh di luar Semenanjung.Beliau menegaskan bahawa jika pola ini berulang di Semenanjung, khususnya di kerusi marginal, PH berisiko kehilangan sokongan bukan sahaja daripada pengundi atas pagar tetapi juga penyokong tegar yang semakin kecewa dengan kompromi politik dalam Kerajaan Perpaduan."Tambahan pula, rakyat sekarang sudah bosan dengan kepimpinan lama yang belum berubah dan mereka merasakan mereka memerlukan pemimpin baharu untuk melakukan rejuvenasi politik Malaysia dan kemunculan Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dilihat berpotensi untuk menjadi alternatif kepada krisis kepimpinan sekarang," katanya kepada Sinar Harian.Dalam masa yang sama, beliau melihat bahawa krisis paling besar yang dihadapi PH hari ini datang daripada dalam pakatan itu sendiri, khususnya melibatkan PKR."Sebagai tulang belakang gabungan tersebut, PKR kini menunjukkan tanda-tanda perpecahan yang semakin jelas," katanya.Jelas beliau, hubungan mantan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, dengan kepimpinan parti juga dilihat semakin renggang.Mutakhir, sewaktu demonstrasi pada Sabtu lalu, Rafizi telah menyatakan akan mengumumkan hala tuju politiknya pada Jun dan tidak menolak kemungkinan akan memulakan langkah politik baharu."Kenyataan bersama Rafizi dan sembilan Ahli Parlimen PKR lain berhubung isu pekerja asing, Bestinet, FWCMS dan TURAP, serta beberapa isu lain, memperlihatkan bahawa wujud blok dalaman yang tidak lagi bergerak sehaluan dengan Presiden PKR dan sebahagian kepimpinan kerajaan. Ini memberi gambaran bahawa PKR bukan lagi bergerak sebagai satu pasukan," katanya.Pada masa yang sama, kata Afifi, kemenangan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden PKR masih belum berjaya diterjemahkan sepenuhnya kepada pemulihan jenama parti."Beliau dilihat belum menonjol sebagai tokoh yang mampu merawat luka penyokong PH, memperkukuh struktur akar umbi atau menghidupkan semula naratif reformasi yang menjadi kekuatan utama gabungan tersebut sebelum ini," katanya.Tambah beliau, fenomena "badan tanpa kepala" dalam pemilihan cabang PKR turut menguatkan lagi hujah bahawa parti tersebut sedang berdepan masalah organisasi yang serius."Di Kangar, peletakan jawatan 15 Ahli Jawatankuasa termasuk Timbalan Ketua Cabang mencerminkan ketidakpuasan hati yang mendalam terhadap hala tuju kepimpinan sedia ada, sekali gus menunjukkan bahawa krisis yang berlaku bukan sahaja di peringkat elit, tetapi turut menular ke peringkat akar umbi," katanya.Selain itu, faktor yang paling memberi kesan langsung kepada sokongan rakyat ialah tekanan kos sara hidup, khususnya berkaitan bahan api.Menurut penganalisis, Dr Mukhtaruddin Mokhtar, isu ini menjadi penentu utama dalam menilai sokongan rakyat terhadap kerajaan.Ujar beliau, laporan muka depan Sinar Harian hari ini menunjukkan bahawa kenaikan kos bahan api telah memberi kesan langsung kepada pelbagai sektor ekonomi."Dalam sektor pengangkutan sekolah, pengusaha bas dan van berdepan tekanan apabila subsidi diesel hanya mampu menampung sekitar 25 peratus daripada keperluan sebenar, memaksa mereka menanggung kos selebihnya dan berpotensi menaikkan tambang," katanya.Dalam sektor pertanian pula, katanya, peningkatan kos baja dan racun antara 20 peratus hingga 30 peratus telah menekan margin keuntungan sehingga pengeluaran sayur berisiko merosot sehingga 50 peratus.Manakala dalam sektor pesawah, kos pengeluaran padi telah meningkat sehingga hampir RM7,000 sehektar, menjadikan operasi semakin tidak mampan."Walaupun terdapat subsidi, ia tidak mencukupi untuk menampung lonjakan kos, manakala harga belian padi yang kekal rendah tidak lagi selari dengan realiti semasa, sekali gus menimbulkan risiko pesawah meninggalkan sektor ini."Dalam sektor perkhidmatan seperti kereta sewa, peningkatan kos bahan api yang mendadak telah memaksa pengusaha menyusun semula harga dan strategi perniagaan, manakala permintaan pengguna pula menunjukkan penurunan akibat tekanan kewangan," katanya.Di peringkat isi rumah, katanya, kesan kenaikan kos bahan api ini telah mencetuskan peningkatan harga barang, tambang dan bil bulanan, sekali gus mengurangkan pendapatan boleh guna rakyat secara signifikan."Secara keseluruhannya, setiap sektor menunjukkan bahawa kenaikan kos bahan api bukan sahaja memberi kesan kepada pengeluar dan pengusaha, tetapi akhirnya dipindahkan kepada rakyat dalam bentuk harga yang lebih tinggi dan kualiti hidup yang menurun."Semua ini menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat kepada PH selaku peneraju utama kerajaan hari ini," ujar beliau.Seorang lagi penganalisis, Dr Mohd Fuad Salleh berpandangan bahawa ancaman terbesar PH ialah kehilangan kelebihan moral yang sebelum ini menjadi kekuatan utama mereka.Ujar beliau, PH dahulu menang atas naratif reformasi, integriti dan tadbir urus baik. Namun isu-isu panas dan besar seperti dakwaan pemilikan saham Tan Sri Azam Baki, dakwaan mafia korporat, Bestinet, FWCMS, TURAP dan kelemahan pengurusan institusi telah menyebabkan penyokong reformasi mula mempersoalkan kesungguhan kerajaan.Katanya, Himpunan Tangkap Azam Baki pada 25 April, walaupun tidak berlangsung dalam skala besar, membawa simbol politik besar."Ia menunjukkan bahawa isu integriti kini bukan sahaja dimainkan pembangkang, tetapi turut digerakkan oleh tokoh dan penyokong yang pernah dikaitkan dengan arus reformasi sendiri."Himpunan kali ini merentasi parti dan ideologi politik. Ada wakil dan pimpinan dari PH (PKR, DAP, Amanah), BN (MCA), PN (Pas dan Bersatu), PSM, Muda, Urimai dan parti-parti lain."Sebahagian besar orang ramai yang hadir tidak berparti dan adalah orang biasa, dan ramai pula kaum bukan Melayu yang menjadi teras asal sokongan PH menyertainya."Ini sekali gus membuktikan bahawa isu integriti telah menjadi isu merentas politik yang mampu menjunamkan dengan teruk sokongan terhadap PH jika Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dilangsungkan dalam tempoh terdekat," jelasnya.Katanya, begitu juga dengan isu video seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini yang tular di media sosial mengaitkan Anwar dan belas pembantunya, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak."Hingga hari ini tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap beliau seolah-olah apa yang wanita berkenaan nyatakan ada kebenarannya."Rakyat seperti lebih percaya kepada dakwaan wanita tersebut yang mengatakan bekas pembantu Anwar terlibat penyalahgunaan kuasa menyebabkan SPRM telah bertindak menahan Datuk Seri Samsul Iskandar Mohd Akin," katanya.Kesimpulannya, berpandukan pandangan beberapa penganalisis ini, gabungan kemerosotan sokongan pilihan raya, perpecahan dalaman PKR, tekanan kos sara hidup serta krisis tadbir urus telah mewujudkan satu landskap politik yang tidak memihak kepada PH pada masa ini.Sekiranya keadaan ini tidak ditangani dengan segera dan berkesan, PRU16 berpotensi menjadi referendum terhadap kekecewaan penyokong sendiri.Dalam konteks ini, kenyataan bahawa PH berisiko "gone" adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian serius.

Go to News Site