Sinar Harian
MUAR – Pas Johor meletakkan sasaran untuk merampas kerusi Parlimen Muar daripada Ahli Parlimennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, selain itu parti berkenaan juga bertekad mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.Menurut beliau, kesiapsiagaan jentera parti kini diperkukuh lebih awal sebagai persediaan menghadapi persaingan politik yang dijangka lebih sengit di negeri itu."Pas berhasrat untuk merampas kerusi Parlimen Muar daripada Syed Saddiq pada pilihan raya umum akan datang."Pada masa sama, kita akan terus mempertahankan DUN Maharani pada PRN Johor nanti," katanya.Beliau berkata demikian ketika hadir pada Program Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) Johor di Pusat Komuniti Pas Muar, Parit Tarom di sini pada malam Ahad.Program dirasmikan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang turut menyempurnakan pelancaran jentera pilihan raya Pas Johor.Hadir sama, Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Nornekman Osman.Dalam pada itu Muhammad Sanusi yang juga Bendahari Agung PN berkata, Pas Johor berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi PRN Johor pada bila-bila masa, dengan jentera parti di semua peringkat sudah digerakkan lebih awal."Persiapan Johor, orang Johor ini 'ready anytime'. Kita pun bersiap."Jentera di peringkat negeri sudah dilancarkan dan bila pelancaran di peringkat negeri dibuat, maka di kawasan-kawasan juga telah dibuat pelancaran," katanya.Mengulas mengenai sasaran kerusi, Menteri Besar Kedah itu berkata, perkara tersebut masih dalam perbincangan bersama kepimpinan negeri, termasuk kemungkinan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN Johor."Kalau boleh, 56 kita nak bertanding," katanya.Beliau bagaimanapun menegaskan keputusan muktamad berhubung agihan kerusi akan diputuskan selepas perbincangan bersama kepimpinan dalam PN Johor.
Go to News Site