Collector
'Ramai tokoh NGO, parti politik mohon sertai PN' - Sanusi | Collector
'Ramai tokoh NGO, parti politik mohon sertai PN' - Sanusi
Sinar Harian

'Ramai tokoh NGO, parti politik mohon sertai PN' - Sanusi

MUAR - Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan bahawa terdapat beberapa tokoh baharu termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang berminat untuk menyertai PN.Bendahari Agung PN itu turut memaklumkan, terdapat permohonan rasmi yang telah diterima, namun ia masih dalam pertimbangan dan belum dibincangkan secara muktamad."Ada banyak tokoh besar NGO dan parti-parti yang sedang berkawan dengan kita. Mereka dah buat permohonan, tetapi ini belum dibincangkan lagi."Ada yang mohon tetapi belum mengaku secara terbuka. Jadi saya tak boleh cakap lagi, nanti saya maklumkan kemudian," katanya.Ditanya mengenai kemungkinan parti seperti Parti Pejuang Tanah Air menyertai PN, beliau memberi bayangan bahawa rundingan masih berjalan, namun enggan mengesahkan secara terperinci.Sementara itu, mengenai isu pelantikan Ketua Pembangkang baharu, Menteri Besar Kedah itu berkata, perkara berkenaan perlu diputuskan oleh Ahli Parlimen pembangkang sendiri dan dijangka dimuktamadkan sebelum sidang Parlimen akan datang pada Jun ini."Ketua pembangkang itu kena dibincang di peringkat Parlimen. Saya bukan Ahli Parlimen, jadi Ahli-Ahli Parlimen yang akan bincang."Insya-ALLAH sebelum sidang Parlimen akan datang, bulan Jun, akan ada keputusan. Bila dilantik nanti, ia perlu dimaklumkan dan disahkan di Parlimen," katanya.Isu kedudukan Ketua Pembangkang Parlimen menjadi tumpuan susulan status Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu.Sebelum ini dilaporkan, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, akan menyerahkan surat pemakluman kekosongan jawatan Ketua Pembangkang kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam masa terdekat.PN pada Mac lalu, memutuskan jawatan Ketua Pembangkang akan dipegang oleh seorang Ahli Parlimen Pas.

Go to News Site