Sinar Harian
PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum.Ini bermakna, bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 73 tahun itu tidak meneruskan permohonannya untuk menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah, sebaliknya dijangka terus menjalani hukuman di Penjara Kajang.Najib kini sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.Berdasarkan notis pemberhentian daripada Tetuan Shafee & Co bertarikh 2 April lalu, firma guaman berkenaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa Najib selaku perayu berhasrat untuk menarik balik rayuan berkenaan."Perayu ingin memberhentikan dan menarik balik rayuan terhadap tujuh responden, tanpa kebebasan untuk memfailkan semula (permohonan ini) serta tanpa sebarang perintah berkaitan kos," menurut notis tersebut.Dalam pada itu, Najib juga tidak berhasrat meneruskan rayuan di mahkamah sama, untuk mendapat kebenaran memulakan tindakan menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkaitan titah sama.Permohonan untuk menarik balik rayuan terhadap semakan kehakiman Titah Adendum dimaklumkan kepada Mahkamah Rayuan menerusi notis daripada firma sama bertarikh 2 April lalu.Notis penarikan balik rayuan difailkan pada 31 Mac lalu.Dalam pada itu, menerusi surat berlainan bertarikh 9 April lalu, Mahkamah Rayuan memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa Najib turut menarik balik rayuan berkaitan Ahmad Terrirudin menerusi notis yang difailkan firma guamannya pada 31 Mac lalu."Rayuan tersebut (Ahmad Terrirudin) telah dibatalkan daripada senarai rayuan sivil di bawah kaedah 9(3) Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994," kata surat itu.Pada 22 Disember 2025, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching menolak semakan kehakiman Najib untuk memaksa kerajaan dan enam yang lain melaksanakan Titah Adendum supaya dapat menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.Berdasarkan keputusan, mahkamah berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah disebut dan dibincangkan serta diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari 2024.Dalam semakan kehakiman itu, Najib memohon satu perintah mandamus supaya kerajaan melaksanakan titah itu dengan serta-merta, memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya untuk meneruskan hukuman penjara di bawah tahanan rumah.Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.Pada 21 Mei 2025, Najib memohon supaya Ahmad Terrirudin dipenjara kerana mendakwa bekas Peguam Negara itu telah menghina mahkamah berkaitan titah itu.
Go to News Site