Sinar Harian
KOTA BHARU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, petang ini bagi memberi keterangan berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan yang memperlekeh anggota polis ketika menjalankan sekatan jalan raya (SJR).Wan Rohimi berkata, beliau telah dipanggil dan dijadual hadir sekitar jam 5 petang.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur memperlekeh dan memperbodohkan anggota polis ketika menjalankan SJR berdepan tindakan undang-undang selepas polis membuka kertas siasatan berhubung satu video yang tular.Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 10 pagi Ahad yang dibuat seorang pegawai kanan polis berhubung rakaman video dimuat naik di media sosial.Menurut beliau, video tersebut memaparkan seorang individu lelaki mengeluarkan kenyataan menghina anggota polis ketika bertugas selain mendakwa berjaya melepasi beberapa SJR dengan cara memperdayakan anggota bertugas."Kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab, bersifat provokatif serta boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat di samping menjejaskan imej, reputasi dan kredibiliti PDRM (Polis Diraja Malaysia)," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.Susulan itu, beliau berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.Mohd Yusoff menegaskan, tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang cuba memperlekehkan tugas pasukan keselamatan atau menyebarkan kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Go to News Site