Sinar Harian
SEREMBAN - Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan menyatakan kesediaan bekerjasama dengan 14 ADUN UMNO susulan pengumuman hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.Pengumuman tersebut dibuat oleh Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker dalam sidang media khas di sebuah hotel di sini selepas tiga jam pengumuman dibuat oleh UMNO Negeri Sembilan.Beliau berkata, kesediaan bekerjasama itu bagi menjamin kestabilan dan kelangsungan kerajaan negeri bagi membangunkan Negeri Sembilan dan menjamin kesejahteraan rakyat."Kami ADUN PN mengikuti perkembangan krisis kepimpinan kérajaan Negeri Sembilan semenjak beberapa minggu yang lalu."Mewakili rakyat Negeri Sembilan, kami kesal kerana krisis ini terus berlarutan dan menjejaskan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri sehingga sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) terpaksa ditangguhkan tanpa sebarang tarikh baharu," katanya.Jelas beliau, keadaan itu membuktikan bahawa Aminuddin gagal menangani krisis secara bertanggungjawab demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan.Tambah beliau, krisis berkenaan bertambah serius apabila 14 ADUN UMNO negeri itu sebulat suara menyatakan hilang kepercayaan kepada Aminuddin selaku Menteri Besar sekali gus menarik sokongan terhadap kerajaan negeri."ADUN PN sentiasa meletakkan kepentingan negeri dan rakyat sebagai agenda perjuangan kami," katanya.Dalam sidang media sama, Mohamad Hanifah turut menyerahkan surat kesediaan bekerjasama tersebut kepada wakil UMNO yang diwakili Setiausaha UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor.Mustapha yang ditemui pemberita memberitahu, hasrat PN berkenaan akan disampaikan kepada Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.Untuk rekod pada PRN Negeri Sembilan yang lalu, PN memang di lima kerusi iaitu DUN Paroi, Serting, Gemas, Bagan Pinang dan Labu daripada 36 kerusi DUN.BN memang di 14 kerusi DUN daripada 17 kerusi yang ditandingi yang mana kesemuanya ditandingi oleh UMNO.Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 17 kerusi, yang mana DAP 11 kerusi, PKR lima kerusi dan satu kerusi Parti Amanah Negara (Amanah).Terdahulu, Jalaluddin mengumumkan bahawa kesemua 14 ADUN UMNO/BN Negeri Sembilan sebulat suara mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Aminuddin.Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.Krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan undang luak mengisytihar menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungei Ujong.Sebelum itu, Aminuddin dalam kenyataannya memaklumkan, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan menasihatkan Luak Sungei Ujong agar menerima pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai penyandang pesaka Dato' Klana Petra luak berkenaan.Berikutan krisis berkenaan juga, persidangan DUN Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung selama empat hari bermula Jumaat lalu terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan walaupun istiadat pembukaan sidang berkenaan telah disempurnakan oleh Tuanku Muhriz pada Khamis lalu.
Go to News Site