Collector
Bekas pemandu van sekolah bebas pertuduhan serangan seksual terhadap kanak-kanak | Collector
Bekas pemandu van sekolah bebas pertuduhan serangan seksual terhadap kanak-kanak
Sinar Harian

Bekas pemandu van sekolah bebas pertuduhan serangan seksual terhadap kanak-kanak

PUTRAJAYA - Seorang bekas pemandu van sekolah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada pertuduhan melakukan serangan seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di sebuah kondominium di Petaling, Selangor pada 2022.Hakim Datin Kunasundary Marimuthu membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap Na Li Jing yang berusia 34 tahun.Dalam penghakimannya, Kunasundary mendapati dalam tempoh seperti dinyatakan dalam pertuduhan, tertuduh hanya mula menyewa kondominium berkenaan pada 2024 dan bukan pada 2022, fakta itu disokong seorang saksi bebas yang didapati mahkamah sebagai jujur, tegas dan konsisten dalam keterangannya."Justeru, bagaimana dakwaan serangan seksual itu boleh berlaku? Adakah premis yang dinyatakan dalam pertuduhan itu benar-benar dikaitkan dengan tertuduh? Dalam kes ini, laporan serangan seksual dibuat beberapa tahun kemudian dan mangsa adalah seorang kanak-kanak kecil."Sudah tentu, Pegawai Penyiasat (IO) memikul tanggungjawab besar untuk memastikan semua aspek kes disiasat dengan betul dan menyeluruh, termasuk mengesahkan pemilikan atau penghunian premis di mana kesalahan yang didakwa itu dikatakan berlaku, " katanya.Beliau berkata tugas seorang pegawai pegawai penyiasat adalah untuk mengumpul semua bukti, sama ada yang menyebelahi atau tidak memihak kepada suspek bagi memastikan perbicaraan yang adil dan pentadbiran keadilan sewajarnya."Namun dalam kes ini, kelihatan IO hanya merakam keterangan saksi sebelum meneruskan pertuduhan terhadap tertuduh."Secara keseluruhannya, selepas penilaian menyeluruh terhadap keterangan dikemukakan, mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesahihan dan berlakunya pertuduhan dihadapi tertuduh, manakala pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan," katanya.Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan kesalahan itu terhadap kanak-kanak lelaki berkenaan di sebuah kondominium di daerah Petaling, Selangor antara 7 hingga 8 Oktober 2022.Dia didakwa pada 11 Jun 2025 dan diarahkan membela diri pada 20 Feb 2026.Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat mengetuai pendakwaan, manakala peguam Muhammad Amirul Mukminin mewakili tertuduh. - Bernama

Go to News Site