Sinar Harian
TAWAU - Tindakan kejam seorang wanita mendera bayi perempuan berusia 15 bulan yang dijaganya terbongkar selepas perbuatanya itu dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) dalam kejadian di sebuah taman perumahan di sini.Ibu mangsa yang tidak tahan melihat anaknya menjadi mangsa segera melaporkannya kepada polis sebelum pengasuh berusia 57 tahun itu ditahan pada petang Ahad.Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, laporan yang diterima berkaitan seorang wanita dipercayai terlibat dalam kes penganiayaan terhadap seorang bayi yang dijaganya."Pihak polis menerima laporan daripada ibu mangsa selepas wanita itu melihat rakaman CCTV yang memaparkan suspek dipercayai bertindak tidak wajar terhadap anaknya."Mangsa mendakwa melihat suspek melakukan tindakan yang tidak sepatutnya terhadap kanak-kanak itu ketika dia berada di tempat kerja."Rakaman CCTV yang diterima kemudian turut menunjukkan beberapa perlakuan yang dipercayai berlaku terhadap mangsa ketika berada di bawah jagaan suspek," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Menurut Jasmin lagi, hasil siasatan lanjut mendapati kejadian dipercayai berlaku pada Khamis lalu ketika mangsa dijaga oleh suspek yang dianggap ahli keluarga sendiri dan boleh dipercayai."Suspek diupah sebagai penjaga anak dengan bayaran bulanan sebanyak RM450 sejak kira-kira setahun lalu," katanya.Jasmin berkata, susulan laporan tersebut, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama anggota dari Balai Polis Bombalai menjalankan operasi mengesan suspek."Hasil tindakan pantas polis, suspek berjaya ditahan kira-kira jam 3.45 petang semalam."Suspek kemudian dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan terhadap kanak-kanak," katanya.
Go to News Site