Collector
UMNO/BN NS ada majoriti mudah bentuk kerajaan | Collector
UMNO/BN NS ada majoriti mudah bentuk kerajaan
Sinar Harian

UMNO/BN NS ada majoriti mudah bentuk kerajaan

SEREMBAN - UMNO/Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan kini mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri selepas lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama.Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh ADUN UMNO Negeri Sembilan, mereka menyambut baik kesediaan barisan ADUN PN terbabit demi menjamin kelangsungan pentadbiran kerajaan."UMNO dan BN Negeri Sembilan mengambil maklum akan kenyataan media yang dikeluarkan oleh ADUN PN Negeri Sembilan bertarikh hari ini, 27 April."Pihak kami menghargai keprihatinan yang dizahirkan oleh mereka berhubung kemelut yang sedang melanda pentadbiran kerajaan negeri pada saat ini," katanya dalam kenyataan media pada Isnin.Dalam kenyataan itu, mereka memaklumkan bahawa dalam situasi luar biasa ini, kepentingan rakyat Negeri Sembilan mengatasi segala kepentingan kepartian.Ujarnya, mereka berjiwa besar untuk mengetepikan perbezaan ideologi demi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk dengan segera."UMNO BN sentiasa bersikap pragmatik dan inklusif. Kami percaya bahawa penyatuan suara majoriti ADUN mampu memberikan naratif baharu yang lebih kukuh untuk memacu pembangunan negeri dan mempertahankan adat di negeri ini."Maka dengan itu, melalui kenyataan sokongan daripada lima ADUN PN, UMNO/BN telah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri," katanya.Sementara itu, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, ketika dihubungi Sinar Harian berkata beliau mempunyai bukti kukuh sokongan majoriti daripada Ahli Dewan bagi membolehkan parti terbabit menubuhkan kerajaan.Malah, katanya, kesediaan PN untuk bekerjasama secara tidak langsung telah menunjukkan bahawa mereka kini mempunyai 19 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) sebanyak 17 kerusi.Untuk rekod, pada PRN Negeri Sembilan, PN memenangi lima kerusi iaitu DUN Paroi, Serting, Gemas, Bagan Pinang dan Labu daripada keseluruhan 36 kerusi DUN.BN memenangi 14 kerusi DUN daripada 17 kerusi yang ditandingi, yang mana kesemuanya ditandingi oleh UMNO.PH pula memenangi 17 kerusi, iaitu DAP sebanyak 11 kerusi, PKR lima kerusi dan satu kerusi Parti Amanah Negara (Amanah).

Go to News Site