Sinar Harian
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan berhubung rapat dengan Kementerian Komunikasi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengikuti perkembangan siasatan berhubung tindakan menghina Institusi Diraja Selangor.Beliau berkata, sebarang perkembangan terkini hasil siasatan itu akan disembah maklum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dari semasa ke semasa.Menurutnya, kerajaan Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab yang mencela serta mengaibkan institusi diraja negeri Selangor."Institusi diraja, khususnya Raja-Raja Melayu, adalah Ketua Agama Islam dan merupakan lambang kukuh perpaduan rakyat serta keharmonian masyarakat berbilang kaum."Respons semua pihak termasuk masyarakat awam yang mengutuk perbuatan ini adalah isyarat jelas pendirian rakyat yang menghargai peranan serta fungsi institusi diraja Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Amirudin menegaskan, tindakan sedemikian tidak boleh diterima dan ditegah sama sekali di negeri ini.Sehubungan itu, beliau memaklumkan Setiausaha Politiknya, Saifuddin Shafi Muhammad, telah membuat laporan polis bagi menggesa siasatan segera dijalankan terhadap pihak terlibat.Katanya, beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, bagi menyatakan pendirian kerajaan negeri supaya tindakan tegas diambil dengan segera oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)."Berdasarkan siasatan awal, pemilik akaun dipercayai memuat naik hantaran berunsur hina itu sebelum bertindak memadamkan akaun berkenaan di Facebook," katanya.Tambah beliau, semua pihak diingatkan supaya sentiasa bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dan tidak terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh menggugat keharmonian masyarakat serta institusi diraja, khususnya di Selangor yang mempunyai masyarakat berbilang kaum.
Go to News Site