Collector
PN beri isyarat kerjasama dengan BN di Negeri Sembilan | Collector
PN beri isyarat kerjasama dengan BN di Negeri Sembilan
Sinar Harian

PN beri isyarat kerjasama dengan BN di Negeri Sembilan

KUALA TERENGGANU - Perikatan Nasional (PN) memberi isyarat terbuka untuk membentuk jajaran baharu bersama Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan ketika kemelut politik di negeri itu dilihat semakin meruncing.​Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kemungkinan kerjasama itu sebagai satu pilihan yang tidak mustahil demi menamatkan krisis pentadbiran yang sedang berlaku ketika ini.​Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, langkah seterusnya bergantung kepada perkembangan politik yang berlaku di negeri tersebut dalam masa terdekat.​"Apa yang berlaku di Negeri Sembilan daripada awal sampai sekarang ini memang saya rasa bukan dalam makluman saya sahaja, malah dalam makluman semua orang pun.​"Kita akan perhatikan apa langkah seterusnya yang akan berlaku. Jadi kita tengok daripada situlah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Sukan Negeri Terengganu 2024/2025 di sini pada Isnin.​Mengulas mengenai dakwaan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN yang menyatakan sokongan terhadap pembentukan kerajaan baharu bersama BN, Ahmad Samsuri menegaskan gabungan itu masih berada dalam keadaan stabil.Jelas beliau, pihaknya sedia maklum mengenai perkembangan terbaharu itu dan akan terus memantau situasi semasa sebelum sebarang keputusan drastik diambil.​"Setakat ini dalam PN, kita tidak ada apa-apa perbezaan dengan apa yang berlaku di sana (Negeri Sembilan). Jadi kita tengok pula langkah seterusnya esok macam mana," ujarnya.​Dalam pada itu, beliau turut memberi bayangan bahawa segala-galanya tidak mustahil dalam arena politik, termasuklah kemungkinan wujudnya jajaran atau gabungan politik yang lebih besar pada masa hadapan.​Bagaimanapun, Ahmad Samsuri mengingatkan bahawa sebarang jalan penyelesaian bagi menamatkan kemelut tersebut mestilah berlandaskan lunas undang-undang.​"Apa jua kemelut yang berlaku, perlu diteliti dari segi aspek undang-undang negeri yang berkenaan dan juga Perlembagaan Persekutuan bagaimana kita nak tangani perkara itu. Dari situ, barulah politik memainkan peranannya," jelas beliau.​Krisis politik di Negeri Sembilan ketika ini dilaporkan tercetus berikutan kemelut membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri yang melibatkan Yang di-Pertuan Besar serta Undang Yang Empat.​Situasi bertambah tegang apabila dilaporkan berlaku tindakan 'pecat-memecat' jawatan melibatkan Undang Sungai Ujong dan Yang di-Pertuan Besar, yang membawa kepada penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.​Sebelum ini, Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker mendedahkan lima ADUN PN telah mengemukakan tawaran bertulis kepada BN untuk bekerjasama demi memastikan kestabilan politik negeri kembali pulih.​Namun, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan beliau akan terus menjalankan tugas meskipun kini mengetuai kerajaan minoriti dan menolak keperluan untuk membubarkan DUN dalam masa terdekat.Menurutnya, kerajaan negeri akan terus berfungsi selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri bagi memastikan pentadbiran berjalan lancar.

Go to News Site