Collector
Kemelut dalaman jejas peluang PN | Collector
Kemelut dalaman jejas peluang PN
Sinar Harian

Kemelut dalaman jejas peluang PN

SHAH ALAM – Peluang Perikatan Nasional (PN) untuk merampas Selangor dan seterusnya mentadbir Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berdepan cabaran besar susulan kemelut dalaman masih belum diselesaikan.Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, meskipun PN mendakwa telah pulih daripada krisis, realitinya gabungan tersebut masih berdepan isu perpecahan yang boleh menjejaskan kekuatan mereka.Menurut beliau, konflik melibatkan kepimpinan dalam PN termasuk kumpulan yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin belum mencapai penyelesaian muktamad."Secara umum, peluang yang disebut itu agak sukar kerana kemelut dalaman masih besar."Jika tidak diselesaikan, ia boleh membawa kepada perpecahan yang memberi kesan kepada prestasi pilihan raya," katanya kepada Sinar Harian.Sebelum ini Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan PRU16 menjadi peluang terbaik untuk PN menjadi kerajaan di Selangor dan kembali mentadbir Putrajaya.Justeru bekas Perdana Menteri itu menggesa pembangkang mengambil peluang dengan melakukan perubahan segera untuk memenangi hati rakyat menjelang PRU dan pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.Dalam pada itu Mazlan menjelaskan, penubuhan parti baharu oleh Hamzah juga dilihat berpotensi mengubah landskap PN apabila ia bakal melibatkan pembahagian kerusi sesama komponen."Sudah tentu akan ada tuntutan terhadap kerusi yang sebelum ini ditandingi oleh parti tertentu dan ini boleh mencetuskan pertembungan sesama sendiri."Situasi ini boleh membuka ruang kepada pertandingan tiga atau empat penjuru khususnya di Selangor dan secara tidak langsung akan menjejaskan peluang PN untuk menang," ujarnya.Sementara itu beliau berpendapat, prestasi semasa kerajaan ketika ini turut memainkan peranan penting dalam menentukan sokongan rakyat.Malah katanya, sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan Madani, beberapa petunjuk seperti pemulihan ekonomi dan kestabilan semasa dilihat boleh mempengaruhi kecenderungan pengundi untuk mengekalkan kerajaan sedia ada."Dalam keadaan ini, PN mungkin berdepan kesukaran untuk menguasai kerajaan di peringkat Persekutuan."Walaupun mereka mempunyai kekuatan di kawasan majoriti Melayu, ia mungkin tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan secara keseluruhan," tambah beliau.

Go to News Site