Sinar Harian
KUANTAN – Dua wanita termasuk seorang pesara guru mengalami kerugian RM1.4juta selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan scam yang menyamar sebagai pihak berkuasa dan wakil syarikat perkhidmatan.Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya menerima dua laporan berasingan daripada mangsa di Kuantan dan Raub.Menurutnya, kes pertama di Kuantan melibatkan pesara guru wanita berusia 60 tahun yang dihubungi individu yang mendakwa sebagai wakil Shopee pada 6 September 2024."Panggilan kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu yang menyamar sebagai pegawai polis."Mangsa seterusnya dimaklumkan kononnya terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan penjualan kad ATM kepada penjenayah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Beliau menambah, suspek telah mengarahkan mangsa membuat akuan sumpah dan laporan polis melalui panggilan telefon serta merakam suara mangsa sebagai kononnya pengakuan.Jelasnya, mangsa turut diugut dengan dua pilihan sama ada ditangkap serta direman atau menyerahkan kesemua harta miliknya.Yahaya menambah, akibat ketakutan, mangsa telah membuat sebanyak 122 transaksi pemindahan wang ke beberapa akaun bank dalam tempoh hampir dua tahun."Keseluruhan kerugian dialami mangsa berjumlah RM1,014,000 melibatkan wang simpanan, wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hasil jualan rumah, wang persaraan serta pinjaman peribadi."Mangsa juga diarahkan untuk melapor diri sebanyak enam kali setiap hari, iaitu setiap tiga jam serta dilarang sama sekali memaklumkan perkara tersebut kepada mana-mana pihak," katanya.Yahaya berkata, kes kedua di Raub melibatkan seorang guru wanita berusia 42 tahun yang kerugian RM431,000 selepas menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai insurans dan polis pada Februari lalu."Mangsa dimaklumkan kononnya mempunyai kaitan dengan tuntutan insurans palsu."Mangsa kemudian diarahkan memindahkan wang ke akaun bank di bawah kawalan suspek bagi tujuan pengurusan kes," katanya.Menurutnya, kerugian melibatkan simpanan peribadi, pinjaman serta pajakan barang kemas.Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah panik apabila menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali."Orang ramai juga disaran menyemak nombor akaun mencurigakan melalui portal Semak Mule serta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 jika mengesyaki menjadi mangsa penipuan," katanya.
Go to News Site