Sinar Harian
IPOH – DAP mempunyai rekod jelas tidak mengambil langkah ‘curi’ dalam kerjasama politik bagi membentuk pentadbiran kerajaan, kata Dr Abdul Aziz Bari.Naib Pengerusi DAP Perak itu berkata, pendirian tersebut membuktikan komitmen parti untuk terus setia dalam memastikan kestabilan politik, sama ada di peringkat negeri mahupun Pusat."DAP mempunyai rekod yang jelas sejak zaman Pakatan Rakyat lagi. Kita setia dan tidak mengambil langkah curi. Setiap tindakan dibincangkan bersama dalam gabungan."Malah, kita juga bersedia memberi laluan kepada parti yang mempunyai kerusi lebih sedikit untuk memimpin, demi memastikan kestabilan kerajaan," katanya kepada Sinar Harian.Beliau berkata demikian ketika mengulas krisis politik di Negeri Sembilan yang menyaksikan kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) negeri itu menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar.Abdul Aziz yang juga Pakar Perlembagaan berkata, situasi politik semasa, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), berdepan pelbagai kemungkinan, namun semua pihak perlu bijak mengurus cabaran yang ada."Apa pun, kita harus ingat bahawa kita sedang diperhatikan dan kemampuan mengurus situasi semasa amat penting," katanya.Beliau turut mengimbas krisis politik Langkah Sheraton pada 2020 yang memberi kesan besar kepada landskap politik negara."Apa yang berlaku selepas itu sangat jelas dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berjaya memulihkan keadaan dalam tempoh empat tahun. Ia bukan sesuatu yang mudah," katanya.Mengulas situasi di Perak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu berkata, krisis di Negeri Sembilan tidak menjejaskan kerjasama serta kedudukan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar."Dalam keadaan sekarang, saya yakin DAP dan Pakatan Harapan (PH) mengutamakan kestabilan. Lagipun PRU16 sudah hampir dan boleh berlaku pada bila-bila masa," katanya.
Go to News Site