Sinar Harian
SHAH ALAM - Penyertaan lebih 50 peratus golongan muda ke dalam UMNO menerusi inisiatif Rumah Bangsa jelas menggambarkan satu perkembangan positif.Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, tumpuan parti ketika ini dalam mendekatkan diri dengan anak muda adalah dengan memberikan kefahaman mengenai hakikat sebenar cara mentadbir sesebuah kerajaan."Saya percaya ramai rakyat di luar sana telah melihat keterbukaan tentang hakikat sebenar yang mereka mahukan untuk negara ini."Jadi, sempena 80 tahun penubuhan UMNO, tugas parti adalah menceritakan kembali kepada mereka tentang dasar dan kisah kejayaan sepanjang menjadi kerajaan."Alhamdulillah, ramai yang menerima UMNO, khususnya golongan muda dan kami berharap parti ini menjadi pilihan utama mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.Beliau juga secara peribadi percaya bahawa peningkatan trend penyertaan dalam kalangan anak muda merupakan bukti golongan itu sudah muak dengan naratif palsu, omong kosong dan perkara negatif.Ini kerana pada hematnya, retorik politik yang bersemangat tidak menggambarkan hakikat sebenar apabila memegang jawatan dalam pentadbiran."Walaupun ada pemimpin yang percakapannya sedap didengar, hakikat sebenar untuk memastikan pentadbiran dan pembangunan negeri berjalan dengan baik tidak dapat dilaksanakan."Bercakap berdegar-degar tetapi jika tidak tahu mentadbir negeri, itulah perkara yang akan dinilai rakyat hari ini," ujarnya.Jumaat lalu, Ahli MKT UMNO merangkap Ahli Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan memaklumkan kira-kira 60 peratus atau 6,009 daripada lebih 10,000 permohonan menyertai UMNO sebagai ahli baharu menerusi inisiatif Rumah Bangsa adalah golongan muda berusia 40 tahun ke bawah.Kata Ahli Parlimen Pontian itu, permohonan yang diterima termasuk melalui sayap Wanita dan Puteri UMNO.Ahmad berkata, faktor pendorong kejayaan UMNO menarik ahli baharu adalah kesediaan dan keterbukaan parti itu untuk menerima kembali ahlinya yang sebelum ini dipecat.Rumah Bangsa merupakan inisiatif penyatuan semula UMNO yang diperkenalkan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyatukan orang Melayu dan menerima kembali bekas ahli menyertai parti tersebut.
Go to News Site