Sinar Harian
SHAH ALAM - Pemilik tanah bagi tiga penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Setia Alam di sini yang diserbu pada 3 April lalu telah dikenal pasti.Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, seorang individu merupakan pemilik salah satu lokasi penempatan terbabit telah tampil untuk direkod keterangan bagi tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.Menurutnya, susulan itu pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor telah mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan kompaun RM200,000 terhadap pemilik tanah itu."Selain itu, bagi penempatan PATI yang terletak di ladang kelapa sawit, pemiliknya dikenal pasti milik syarikat dan akan hadir ke JIM Selangor dalam masa terdekat."Bagi satu lagi lokasi, tiga pemilik telah diambil keterangan kerana penempatan itu membabitkan tiga lot tanah dan kes masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.Tambahnya, JIM Selangor juga telah bermesyuarat dengan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta Pejabat Tanah dan Galian Selangor berkenaan isu penempatan terbabit.Sinar Harian sebelum ini melaporkan serbuan kira-kira jam 11.50 malam itu dilaksanakan JIM Selangor dengan dibantu JIM Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang selain Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan MBSA.Op Bersepadu Mega itu menahan 214 disyaki PATI membabitkan 120 lelaki, 65 wanita, 16 kanak-kanak lelaki serta 13 kanak-kanak perempuan berusia satu bulan hingga 80 tahun.Tangkapan membabitkan warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan dan Sri Lanka.Tinjauan Sinar Harian di salah satu lokasi mendapati penempatan terbabit dilengkapi dengan surau dan kedai runcit, selain bekalan barangan kawalan seperti tong gas dan diesel.Rata-rata kediaman pula mempunyai motosikal dan kereta pelbagai jenama yang diparkir, seolah-olah perkampungan yang telah lama dibina.Malah penempatan haram itu juga dilengkapi dengan akses bekalan elektrik dan air.
Go to News Site