Collector
PN selar serbuan rumah wartawan, desak kerajaan hormati kebebasan media | Collector
PN selar serbuan rumah wartawan, desak kerajaan hormati kebebasan media
Sinar Harian

PN selar serbuan rumah wartawan, desak kerajaan hormati kebebasan media

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan dan pihak berkuasa untuk menghormati hak serta peranan sah media susulan tindakan polis menyerbu kediaman seorang wartawan portal berita seperti dilaporkan pada Isnin.Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya memandang serius serbuan ke atas kediaman wartawan Malaysiakini, B Nantha Kumar, yang dipercayai berkaitan laporan mengenai cadangan sistem pengambilan pekerja asing dikenali sebagai 'The Universal Recruitment Advanced Platform' (TURAP).Beliau berkata, tindakan yang didakwa melibatkan pemeriksaan selama 45 minit oleh pegawai polis itu dilakukan atas dakwaan pemilikan dokumen rasmi Jemaah Menteri, meskipun dilaporkan tiada sebarang barangan atau dokumen dirampas."Perkembangan ini melampaui sosok seorang wartawan atau organisasi media semata-mata. Ia menimbulkan kebimbangan yang lebih luas mengenai isu kebebasan media dan ruang untuk wartawan melaporkan isu berkepentingan awam tanpa rasa takut," ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.Terdahulu, Nantha memaklumkan dua pegawai polis berpakaian biasa tiba di rumahnya di Seri Serdang pada jam 2.30 petang dengan membawa waran geledah sebelum menggeledah kediamannya.Siasatan dilaporkan dibuat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana pendedahan maklumat tanpa kebenaran dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.Mengulas lanjut, Takiyuddin turut mempersoalkan tindakan kementerian terbabit yang memilih untuk membuat laporan polis berbanding memberikan penjelasan, walaupun portal berkenaan dilaporkan sudah memberi ruang untuk maklum balas."Dalam negara demokratik yang matang, respons terhadap laporan media seharusnya mengutamakan penjelasan dan ketelusan, bukannya tindak balas yang boleh dilihat sebagai mengekang penelitian awam yang sah," ujarnya.Beliau menambah, sektor pengambilan pekerja asing sering dikaitkan dengan isu ketelusan dan kelemahan tadbir urus, maka laporan media mengenai sebarang pembaharuan dalam sektor itu adalah sah dan menuntut penelitian demi kepentingan awam.Sehubungan itu, PN menggesa pihak berkuasa untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai asas tindakan serbuan tersebut, memastikan hak perlembagaan dihormati sepenuhnya dan menghindari langkah yang boleh memberi kesan negatif terhadap kewartawanan penyiasatan."Malaysia hendaklah kekal sebagai negara yang membolehkan salah laku disiasat, tetapi pada masa yang sama, wartawan tidak pula dianggap sebagai ancaman kerana melaporkan perkara berkepentingan awam," tegasnya.

Go to News Site