Collector
PRN Melaka: Gerak solo atau kerjasama pasca pilihan raya | Collector
PRN Melaka: Gerak solo atau kerjasama pasca pilihan raya
Sinar Harian

PRN Melaka: Gerak solo atau kerjasama pasca pilihan raya

SHAH ALAM - Kerjasama politik di Melaka boleh dibentuk berdasarkan dua strategi penting iaitu sebelum dan selepas pilihan raya negeri (PRN).Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, strategi pertama, Barisan Nasional (BN) boleh bergerak secara solo dan membentuk kerjasama electoral pact menjelang pilihan raya.Kedua katanya, kerjasama pasca pilihan raya menerusi pindaan undang-undang tubuh negeri untuk memperuntukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.Atas dasar itu, Mohammad Tawfik berpendapat 'kecederaan' rakan politik dalam kerjasama Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) dapat dirawat menerusi lantikan ADUN selepas pilihan raya khususnya parti komponen yang kurang mendapat kerusi."Di Melaka, BN masih kukuh dan antara kubu kuat selain Johor selepas PRN lalu."Justeru, strategi pilihan raya di Melaka perlu ditangani dengan cermat oleh PH-BN supaya tidak memberi kesan kepada hubungan rakan-rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan sekali gus mencipta momentum yang memihak gabungan tersebut."Tetapi, PH-BN tidak boleh pandang ringan pengaruh Perikatan Nasional (PN) kerana mereka juga memiliki dua ADUN dan tiga ahli Parlimen," katanya kepada Sinar Harian.Sebelum ini, media melaporkan PH Melaka membuka pintu kepada kerjasama dengan BN pada PRN, namun menyerahkan gabungan itu menilai beberapa cadangan awal termasuk ruang lebih besar melalui pelantikan ADUN.Pengerusinya, Adly Zahari berkata, langkah itu susulan pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai sebahagian pendekatan terbuka PH dalam meneroka kerjasama politik demi mengelakkan persaingan sehingga berpotensi menjejaskan kestabilan negeri.Adly memaklumkan, beberapa cadangan telah dikemukakan kepada BN sebagai asas perbincangan, namun mengakui realiti politik menyaksikan setiap parti cenderung mempertahankan kerusi masing-masing.Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain turut senada dengan Mohammad Tawfik berhubung strategi 'gerak solo' dan kerjasama selepas PRN Melaka.Menurutnya, strategi itu diperkuatkan dengan rekod PH hanya memenangi lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala BN 21 kerusi sewaktu PRN Melaka pada 2021."Bagaimanapun seperti dinyatakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pihaknya akan meneliti agar tidak berlaku pertindihan kerusi lebih-lebih lagi ada kawasan yang dimenangi dengan majoriti tipis."Situasi sekarang memihak UMNO-BN kerana parti kerajaan tidak mempunyai isu besar untuk menyukarkan mereka mengekalkan kemenangan dalam PRN akan datang. Saingan daripada PN pula dijangka tidak sekuat PRN 2021 kerana isu dalaman," ujarnya.Menyentuh perihal model electoral pact yang bertujuan meminimumkan pertandingan pelbagai penjuru, Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis pula berpendapat secara teorinya ia meningkatkan kebarangkalian kemenangan kerana undi tidak berpecah.Bagaimanapun jelasnya, cabaran utama mesti diambil kira adalah rundingan pembahagian kerusi yang sering kali bersifat zero-sum game (hanya satu pemenang) khususnya di kawasan di mana kedua-dua gabungan mempunyai asas sokongan hampir seimbang.Menurutnya, BN dalam konteks Melaka sebagai penyandang kerajaan negeri berkemungkinan menuntut dominasi lebih besar, manakala PH pula akan berhujah berdasarkan prestasi kerusi tradisi mereka."Ini menjadikan rundingan bukan sekadar teknikal, tetapi juga simbolik dari sudut pengaruh politik. Kerjasama mengekalkan status quo kerusi dan mengelakkan pertembungan (mirip PRN Sabah)."Pada saya, ini pendekatan paling pragmatik jika kedua-dua pihak bersetuju menghormati keputusan pilihan raya lalu."Tetapi, jika keutamaan diberikan kepada kestabilan politik negeri, kecenderungan ke arah sama ada pembahagian kerusi terhad atau kerjasama pasca pilihan raya adalah lebih munasabah," jelas beliau.

Go to News Site